Piala Dunia 2018: Brazil tewas di tangan Belgium; Perancis tundukkan Uruguay
Kekalahan mengejut bagi pasukan Brazil
Pemain Belgium, Jan Vertonghen dan pemain dari Brazil, Willian beraksi di padang Piala Dunia 2018. (Gambar: AP/Francisco Seco)
RUSIA: Dalam peringkat suku akhir Piala Dunia 2018, Belgium menewaskan Brazil 2-1 sekaligus menamatkan impian Brazil memburu rekod kejuaraan.
Ia adalah keputusan mengejut bagi pasukan Brazil yang merupakan johan Piala Dunia sebanyak lima kali.
Gol sendiri pemain Brazil Fernandinho dan rembatan deras Kevin De Bruyne memastikan kemaraan Belgium ke separuh akhir Piala Dunia, kali yang kedua untuk pasukan itu dalam sejak 1986. Belgium seterusnya akan berentap dengan Perancis di St Petersburg pada Selasa (10 Jul).
Kekalahan Brazil itu adalah penyingkiran mereka yang ketiga di peringkat suku akhir dalam empat Piala Dunia yang lalu.
14 minit sebelum tamat perlawanan, Brazil berusaha menyamakan kedudukan melalui tandukan pemain pengganti, Renato Augusto.
Namun, gol itu masih tidak mencukupi dan mereka tewas di tangan Belgium yang kini mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 yang buat julung-julung kalinya tidak menampilkan Brazil, Argentina atau Jerman.
"Saya rasa saya lelaki paling berbangga di bumi ini buat masa sekarang," kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez.
Sementara itu, Uruguay kecundang di tangan Perancis dalam satu lagi perlawanan suku akhir semalam (6 Jul).
Perancis menewaskan Uruguay 2-0.
Uruguay bermain tanpa penyerang utama Edinson Cavani yang mengalami kecederaan pada betisnya.
Perlawanan menjadi lebih menarik pada minit ke-40 apabila Varane berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan.
Gol kedua menyusul apabila Griezmann mencuba nasib dengan tendangannya berjaya melepasi pertahanan gawang Uruguay.
Dua lagi perlawanan peringkat suku akhir akan berlangsung pada Sabtu (7 Jul) menyaksikan England menentang Sweden manakala tuan rumah, Rusia akan berdepan Croatia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.