Skip to main content

Sukan

Piala ASEAN Hyundai: Rekod 14 tahun tanpa kemenangan ke atas Thailand tidak gentarkan Pasukan Singa

Anggaran Waktu Membaca:
Piala ASEAN Hyundai: Rekod 14 tahun tanpa kemenangan ke atas Thailand tidak gentarkan Pasukan Singa

Ketua jurulatih Singapura Gavin Lee (kiri) bersama Ilhan Fandi semasa sidang media menjelang perlawanan separuh akhir Piala ASEAN Hyundai menentang Thailand di Stadium Jalan Besar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 09:18PM Dikemas Kini : 14 Aug 2026 09:24PM
  • Gavin Lee menegaskan Pasukan Singa tidak terpengaruh dengan statistik lalu menjelang separuh akhir Piala ASEAN Hyundai menentang Thailand pada 15 Ogos di Stadium Jalan Besar.
  • Anthony Hudson dari Thailand menyatakan pasukannya menghormati Singapura dan mengakui peningkatan prestasi lawan sejak kempen Piala Asia.
  • Thailand mara ke separuh akhir selepas menang semua perlawanan kumpulan, manakala Singapura tidak kalah dalam kumpulan dan mendapat sokongan padu peminat.
  • Tiket perlawanan habis dijual, dan Lee menyifatkan sokongan peminat sebagai motivasi utama untuk pemain memberikan persembahan terbaik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sudah hampir 14 tahun dan 10 perlawanan sejak kali terakhir Singapura menewaskan Thailand, namun ketua jurulatih Gavin Lee menegaskan Pasukan Singa tidak hiraukan statistik lalu menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala ASEAN Hyundai pada Sabtu (15 Ogos).

Lee berkata perangkaan itu sekadar memberi gambaran mengenai cabaran yang bakal dihadapi pasukannya dan tidak seharusnya mempengaruhi mereka.

"Semua angka ini sekadar memberikan konteks. Ia hanya memberikan kita maklumat tetapi tidak seharusnya terlalu membebankan kita. Ia hanya memaklumkan kita tentang cabaran yang akan dihadapi," katanya dalam sidang media praperlawanan pada Jumaat (14 Ogos).

"Akhirnya, hanya ada satu angka iaitu 'satu'. Kami memberi tumpuan kepada yang seterusnya, iaitu perlawanan seterusnya dan itulah tanggungjawab kami."

Perlawanan separuh akhir pertama akan berlangsung di Stadium Jalan Besar pada 9.00 malam Sabtu (15 Ogos), manakala perlawanan kedua dijadualkan pada Selasa (18 Ogos) di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Lee berkata pasukannya teruja untuk beraksi di hadapan stadium yang penuh dengan penyokong.

Beliau berharap Pasukan Singa dapat mempamerkan prestasi yang baik dan membawa hasil yang positif ke Bangkok.

Kemenangan terakhir Singapura ke atas juara tujuh kali kejohanan itu adalah pada 2012, apabila Pasukan Singa menang 3-1 di Stadium Jalan Besar dalam perlawanan pertama pusingan akhir.

Singapura kemudian menjulang trofi meskipun kalah 0-1 dalam perlawanan kedua.

THAILAND TIDAK AKAN AMBIL MUDAH

Ketua jurulatih Thailand Anthony Hudson pula menegaskan pasukannya tidak akan memandang ringan cabaran Singapura.

Beliau berkata Thailand sangat menghormati Pasukan Singa dan menyifatkan pasukan itu sebagai sudah banyak meningkat sejak kempen Piala Asia.

Hudson turut memuji usaha Lee dan berkata Singapura merupakan sebuah pasukan yang memberikan segala-galanya ketika beraksi.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam satu perlawanan persahabatan pada hujung tahun lalu, dengan Thailand menang 3-2.

Menurut Hudson, pertemuan itu memberinya gambaran bahawa Singapura kini merupakan pasukan yang berbeza.

Lee pula berkata Thailand mempunyai barisan penyerang, pemain tengah yang muda dan berbakat, disokong pemain berpengalaman di bahagian pertahanan.

"Kami menghormati mereka sebagai lawan, tetapi kami lebih menghormati diri kami sendiri dengan barisan pemain yang kami ada," katanya.

THAILAND MENANG SEMUA PERLAWANAN KUMPULAN

Thailand, yang menduduki tangga ke-94 dunia, mara ke separuh akhir selepas memenangi kesemua empat perlawanan Kumpulan B tanpa pintu golnya dibolosi.
Related article image
Dari Kiri: Shah Shahiran, Ilhan Fandi dan Song Ui-young dari pasukan bola sepak kebangsaan Singapura sebelum perlawanan menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Pasukan Singa, yang berada di tangga ke-148 dunia, pula tidak kalah dalam empat perlawanan Kumpulan A.

Singapura memulakan kempen dengan mengalahkan Kemboja 2-1 sebelum mencatatkan kemenangan ke atas Timor-Leste di gelanggang sendiri.

Pasukan Singa kemudian seri 0-0 dengan Vietnam di padang lawan sebelum keputusan seri 1-1 menentang Indonesia mengesahkan tempat mereka di separuh akhir.

Singapura menduduki tangga kedua Kumpulan A di belakang juara bertahan Vietnam, yang akan menentang Malaysia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

SOKONGAN PEMINAT BERI SEMANGAT

Tiket bagi perlawanan Sabtu (15 Ogos) habis dijual tidak lama selepas mula ditawarkan, menyebabkan ramai peminat gagal mendapatkan tiket.

Lee berkata meskipun pasukan itu lebih suka tiket tersebut diperolehi "penyokong sebenar", tahap sokongan yang diterima memberi semangat kepada para pemain.

Menurut beliau, sokongan yang semakin meningkat menunjukkan perkembangan Pasukan Singa.

"Peminat merupakan sebahagian besar daripada pasukan ini," katanya.

Lee berkata para penyokong akan membawa kemeriahan dan emosi ke Stadium Jalan Besar pada Sabtu (15 Ogos), manakala tanggungjawab para pemain adalah memberikan persembahan yang setimpal dengan sokongan tersebut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita