Piala AFF Suzuki: Vietnam dan Indonesia seri tanpa gol, Kemboja benam Laos 3-0
Juara bertahan Vietnam, gagal dalam usaha mereka untuk lebih awal layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 dalam perlawanan Kumpulan B mereka malam ini, selepas hanya seri 0-0 dengan Indonesia.
Indonesia menentang Vietnam dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2020. (Gambar: AFF Piala Suzuki/Facebook)
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Vietnam, gagal dalam usaha mereka untuk lebih awal layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 dalam perlawanan Kumpulan B mereka malam ini, selepas hanya seri 0-0 dengan Indonesia.
Walaupun Vietnam yang menguasai perlawanan daripada minit pertama, mereka gagal untuk memecahkan tembok pertahanan Indonesia, yang bertahan dengan baik untuk mengelakkan anak buah Park Hang-seo daripada memperolehi gol pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan pada Rabu (15 Dis).
Naga emas melaungkan amaran seawal minit kesembilan, namun rembatan Nguyen Thanh Chung dari luar petak penalti itu terlalu tinggi, sebelum cubaan kaki kiri Nguyen Quang Hai berjaya diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi pada minit ke-28, dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan, Vietnam terus mengasak dengan agresif sebaik perlawanan bermula, namun gagal memperolehi sebarang gol, dengan peluang terbaik mereka pada minit ke-60 apabila Phan Van Duc hampir menjaringkan gol, namun sepakannya itu hanya sesasar sedikit ke sebelah kanan pintu gol.
Terdahulu Laos menamatkan kempen mereka tahun ini tanpa sebarang mata, selepas tewas satu lagi perlawanan, kali ini kepada Kemboja 0-3.
Chan Vathanaka menjaringkan dua gol berselang 10 minit (31 dan 41) sebelum Sieng Changthea menjadikannya 3-0, dengan jaringannya pada minit ke-74.
Walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam, Indonesia kekal mendahului kedudukan Kumpulan B dengan kelebihan jaringan gol, manakala Malaysia kekal di tempat ketiga dengan enam mata, Kemboja (3 mata) dan Laos kekal di tangga terbawah, tanpa sebarang mata.
Indonesia akan bertemu Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Negara Singapura manakala Vietnam akan bertemu Kemboja di Stadium Bishan, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada jam 8.30 malam, Ahad ini.
Ikuti Piala AFF Suzuki 2020 secara LANGSUNG di meWATCH. Daftar sekarang di mewatch.sg/affsuzukicup2020 agar tidak terlepas menyaksikan aksi bersama Mediacorp, penyiar rasmi Singapura bagi Piala AFF Suzuki 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.