Piala AFF Suzuki: Singapura sah tiket separuh akhir, tundukkan Timor Leste 2-0
Adam Swandi (kiri), Ikhsan Fandi (tengah) dan Shakir Hamzah meraikan kemenangan 1-0 up menentang Timor-Leste dalam Piala AFF Suzuki 2020 peringkat kumpulan. (Gambar: Matthew Mohan)
SINGAPURA: Pasukan Singa mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki buat pertama kali dalam hampir 10 tahun, sejak menjulang kejuaraan itu untuk kali keempat pada 2012.
Dalam perlawanan aksi Kumpulan A di Stadium Negara pada Selasa malam (14 Dis), Singapura menumpaskan Timor Leste 2-0 menerusi ledakan Adam Swandi dan Shakir Hamzah.
Sepanjang kejohanan ini, jurulatih Singapura Tatsuma Yoshida menunjukkan kesediaan membuat perubahan pada barisan pemain.
Song Ui-young dan Shawal Anuar kembali dalam kesebelasan utama, dengan jaringan gol Adam Swandi hasil hantaran cemerlang dari Song Ui-young meletakkan Singapura di depan pada minit keempat.
Timor Leste yang dibelasah Filipina 0-7, memberi saingan hebat selepas gol itu dengan mengatur serangan balas yang menggoncang benteng pertahanan Singa. Mereka hampir meraih gol pada minit ke-20, namun rembatan Mouzinho berjaya diselamatkan.
Singapura memulakan separuh kedua dengan kuat dan hampir menggandakan gol menerusi Ikhsan Fandi.
Namun, percubaannya pada minit ke-52 terkena palang gol.
Gol kedua Singa muncul pada minit ke-70 menerusi Shakir Hamzah, meriuhkan kembali keadaan di Stadium Negara.
Dua gol malam ini memberikan Singapura tiga kemenangan daripada tiga perlawanan - menang 3-0 ke atas Myanmar dan 2-1 ketika berdepan Filipina sekali gus bermakna Singapura meraih sembilan mata penuh.
Juara lima kali Thailand, yang juga memungut sembilan mata penuh dalam Kumpulan A selepas menundukkan Filipina 2-1 awal malam ini, turut menempah tiket mereka ke separuh akhir.
Singapura akan berentap dengan Thailand dalam perlawanan terakhir pusingan kumpulan Sabtu ini, dan kemenangan bagi Singa akan menjuarai Kumpulan A.
Ikuti Piala AFF Suzuki 2020 secara LANGSUNG di meWATCH. Daftar sekarang di mewatch.sg/affsuzukicup2020 agar tidak terlepas menyaksikan aksi bersama Mediacorp, penyiar rasmi Singapura bagi Piala AFF Suzuki 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.