Piala AFF Suzuki: Punah harapan S'pura langkah ke peringkat akhir; tumpas 2-4
Impian Singapura untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Suzuki AFF 2020 musnah setelah dibelasah 4-2 oleh Indonesia pada malam Sabtu (25 Dis).

Pemain negara Safuwan Baharudin dibuang padang semasa perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 menentang Indonesia di Staidum Negara Singapura pada 25 Dis 2020. (Gambmar: Matthew Mohan/CNA)
SINGAPURA: Impian Singapura untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Suzuki AFF 2020 musnah setelah ditumpaskan 4-2 oleh Indonesia pada malam Sabtu (25 Dis).
Pasukan negara pimpinan Tatsuma Yoshida itu sekali gus tersingkir daripada Piala AFF Suzuki selepas tumbang dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Negara.
Serangan sewaktu masa tambahan oleh Irfan Jaya dan Egy Maulana Vikri membawa kepada kemenangan Indonesia dengan agregat 5-3.
Perlawanan pertama peringkat separuh akhir antara kedua-dua pasukan itu Rabu lalu (22 Dis) berakhir dengan kutipan mata seri apabila Ikhsan Fandi menyumbatkan gol penyamaan.
Bagaimanapun, Yoshida mencatur beberapa perubahan dalam strategi perlawanan pada malam Sabtu, meletakkan Ikhsan di luar padang dan menampilkan barisan pemain yang berbeza untuk peringkat kedua separuh akhir.
Penyerang Geylang International Amy Recha menggantikan tempat Ikhsan, dalam kemunculan pertamanya untuk mewakili Singapura. Faris Ramli juga diundurkan, memberi laluan kepada Hafiz Nor untuk beraksi buat pasukan Lions.
Indonesia mendahului perlawanan seawal minit ke-11 apabila tendangan Hassan Sunny dipintas oleh Witan yang menghantar bola ke Ezra Walian untuk menjaringkan gol pertama pasukan itu (agregat 2-1).
Singapura terkial-kial untuk menjaminkan tempat dalam perlawanan itu dengan beberapa kali sepakan bola yang gagal menepati sasarannya.
Pemain pertahanan negara Safuwan Baharudin dibuang padang pada minit ke-45 membawa perkembangan membimbangkan buat pasukan Singapura.
Namun, Song Ui-Young kemudian berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan tuan rumah dengan agregat 2-2, sejurus sebelum wisel waktu rehat.
Indonesia meningkatkan tekanan pada separuh masa kedua dengan rembatan yang melantun dari palang pada minit ke-59.
Yoshida melanjutkan perlawanan dengan membuat tiga pertukaran pemain - membawa Ikhsan, Faris dan Shawal Anuar turun ke padang.
Pada minit ke-67, Irfan Fandi dibuang padang lantas meninggalkan Singapura dengan hanya sembilan pemain dengan sekitar baki 25 minit perlawanan.
Tidak lama kemudian, Shahdan Sulaiman meletakkan Singapura di hadapan 2-1 dengan tendangan percuma tepat pada sasaran.
Namun, Indonesia mula menunjukkan taringnya dengan Pratama Arhan membolosi penjaga gawang Singapura untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Tendangan penalti oleh Faris malangnya dipatahkan oleh penjaga gawang Indonesia, Nadeo Argawinata pada minit ke-89.
Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sedang kedua-dua pasukan seri 2-2.
Indonesia kemudian mendahului 3-2 dalam masa tambahan. Egy Maulana kemudian meluaskan jurang gol buat Indonesia, meninggalkan Singapura 4-2.
Ikuti Piala AFF Suzuki 2020 secara LANGSUNG di meWATCH. Daftar sekarang di mewatch.sg/affsuzukicup2020 agar tidak terlepas menyaksikan aksi bersama Mediacorp, penyiar rasmi Singapura bagi Piala AFF Suzuki 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.