Piala AFF Mitsubishi Electric: SG tersingkir, dikalahkan M'sia 1-4

(Gambar: FAS)
SINGAPURA: Singapura kalah 1-4 di tangan Malaysia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Mitsubishi Electric pada Selasa malam (3 Jan).
Skuad Singa memulakan kempen mereka dengan kemenangan 3-2 dengan Myanmar dan ia disusuli dengan kemenangan 2-0 ke atas Laos. Keputusan seri 0-0 dengan Vietnam di Stadium Jalan Besar pada Jumaat (30 Dis) meletakkan mereka dalam kedudukan baik untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Skuad Harimau Malaya yang perlu menang untuk mara ke peringkat empat terbaik jelas tidak menghampakan lebih 65,000 penyokong setianya di Stadium Nasional Bukit Jalil, apabila tandukan Darren Lok meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-35.
Belum sempat Singapura mencatur gerakan selepas rehat, Stuart Wilkin melebarkan jurang gol pada minit ke-50 sebelum menjaringkan gol ketiga empat minit kemudian.
Skuad Singa menghidupkan perjuangan menerusi jaringan Faris Ramli pada minit ke-83.
Bagaimanapun, jaringan pembukaan Singapura itu sekadar sagu hati apabila pemain gantian, Sergio Aguero menyumbang gol keempat buat Malaysia pada minit ke-86.
Keputusan bermakna Singapura menamatkan perlawanan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan tujuh mata.
Vietnam menjuarai Kumpulan B dengan 10 mata setelah menang 3-0 ke atas Laos manakala Malaysia meraih sembilan mata.
Selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A yang juga 'raja ASEAN' enam kali, Thailand pada Sabtu (7 Jan), dan di Bangkok pada Selasa (10 Jan).
Anda boleh mengikuti semua perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menerusi meWatch.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.