Piala AFF Mitsubishi Electric: Jurulatih Malaysia berkata pasukan SG "guna corak permainan defensif"

Ketua jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Kim Pan Gon (Gamber: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Malaysia Kim Pan Gon berkata Singapura adalah pasukan yang cenderung menggunakan corak permainan defensif, menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Bukit Jalil pada Selasa malam (3 Jan).
Kenyataan Pan Gon itu adalah berdasarkan pemerhatian terhadap pendekatan taktikal Singapura yang tidak banyak berubah sejak kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan persahabatan Mac lepas.
Skuad Singa menang 2-1 dalam perlawanan itu yang diadakan di Singapura dan Pan Gon mengalami kekalahan pertama bersama pasukan negara.
Beliau berkata corak permainan Singapura berlainan dengan pendekatan taktikal pihaknya yang lebih proaktif dan menyajikan permainan yang berkualiti tinggi dan menghiburkan.
“Pada saya (Singapura) Mac lepas dan kejohanan kali ini tak banyak beza… mereka lebih pentingkan pertahanan, banyak bermain di bahagian bawah dan mencari peluang untuk serangan balas tetapi Malaysia berbeza.
“Kami mahu lebih proaktif, mendominasi permainan, memberikan permainan bola sepak yang bertenaga dan dinamik untuk mencapai kemenangan jadi kami berbeza daripada mereka, namun saya rasa mereka mempunyai gaya tersendiri dan kami akan menghormati gaya dan pendekatan mereka,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil pada Isnin (2 Jan).
Selepas Singapura seri tanpa jaringan ketika menentang Vietnam pada Jumaat (30 Dis), Malaysia tiada pilihan kecuali meraih kemenangan untuk layak ke separuh akhir bagi mengelak daripada tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.
Pan Gon turut menjangkakan Singapura akan mengekalkan permainan secara bertahan pada Selasa malam.
“Mereka akan menggunakan sepenuhnya kelebihan untuk berkumpul ke bahagian bawah dan mengawal bola, jadi terpulang pada kami, tiada siapa yang akan membantu kami. Kami akan pergi ke sana dan cuba membuktikan diri untuk memberi kemenangan kepada peminat dan itulah tugas kami,” kata jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu.
Sementara itu Pan Gon berkata pemainnya menyedari pertembungan esok sangat penting dan memerlukan setiap individu untuk memberikan tumpuan sepanjang perlawanan bagi meraih tiga mata.
“Saya percaya pemain Harimau Malaya kami sangat matang dan profesional. Besok (3 Jan) mereka akan menghormati pihak lawan dan bermain dengan pendekatan yang sewajarnya untuk menghadapi pihak lawan. Saya percaya (dengan) pendekatan ini kami mampu menampilkan persembahan yang mantap selain berharap dapat memberikan keputusan yang baik kepada peminat,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih skuad Singapura, Takayuki Nishigaya, berkata, beliau sudah memberi arahan kepada pemain untuk mengekalkan pendekatan biasa pasukan itu dengan bertahan secara berpasukan selain menanfaatkan peluang ketika melakukan serangan.
“Sudah tentu kami mempunyai kelebihan kerana mengetahui satu mata sudah cukup dan Malaysia perlu menang tetapi itu tidak akan mengubah cara kami bermain.
“Kami menghormati lawan tetapi kami mahu menyerang sebanyak mungkin dan sementara kami menjangkakan Malaysia akan agresif, kami juga mahu melakukan perkara yang sama,” katanya pada sidang media praperlawanan yang sama.
Pemain tengah Singapura, Anumanthan Kumar, 28 tahun, berkata pasukan itu teruja menjelang perlawanan ‘Derbi Seberang Tambak'.
“Kami semua teruja dan sudah bersedia dengan perlawanan besar ini. Tetapi apa yang lebih penting, objektif kami adalah jelas untuk mengumpul tiga mata dan layak ke separuh akhir,” kata pemain berusia 28 tahun yang pernah beraksi bersama Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga Super 2021.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ialah Mac lalu, yang berakhir dengan kemenangan 2-1 untuk Singapura di Stadium Negara, sekali gus memberikan kekalahan pertama Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Singapura, juara empat kali itu, kini mempunyai kelebihan satu mata di tempat kedua manakala Malaysia ketiga dengan enam mata.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Singapura ialah dalam aksi Kumpulan B Piala AFF 2014 dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Singapura, sekali gus mara ke separuh akhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.