Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Piala AFF Mitsubishi Electric: Indonesia menang tipis ke atas Kemboja, Filipina belasah Brunei 5-1

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Naib juara edisi lalu, Indonesia, memulakan kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 dengan kemenangan tipis ke atas Kemboja 2-1, dalam aksi Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Jumaat (24 Dis).

Pemain sayap, Egy Maulana, meletakkan Indonesia di depan pada minit kelapan selepas menyambar hantaran lintang Pratama Arhan.

Namun selang tujuh minit kemudian, Kemboja bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Saret Krya.

Tersentak dengan jaringan lawan, tuan rumah yang meningkatkan rentak permainan kembali mendahului pelawat apabila Witan Sulaeman menolak masuk hantaran leret dari sebelah kanan oleh Marselino Ferdinan pada minit ke-35, sekali gus memberi kelebihan memihak kepada Indonesia menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, pasukan bimbingan Shin Tae-yong yang terus mengasak Kemboja, gagal menjelmakan beberapa peluang menambah jaringan termasuk percubaan tonggak serangan Dendy Sulistyawan yang dinafikan penjaga gawang Kemboja, Keo Soksela, pada minit ke-82.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Sementara itu, Filipina bangkit daripada kekalahan mengejut 2-3 kepada Kemboja Rabu lalu (21 Dis), dengan membelasash Brunei 5-1 di Stadium Peringatan Rizal dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.

Skuad The Azkals tidak menunggu lama untuk merobek gawang Brunei apabila serangan balas tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sayap, Kenshiro Daniels, untuk gol pertama pasukannya pada minit ketujuh.

Manakala sepakan deras dari luar kotak penalti oleh Sandro Reyes menambah jaringan kedua Filipina selang lima minit kemudian.

Aksi di awal separuh masa kedua pula menyaksikan dua jaringan dalam tempoh seminit terus menggamatkan penyokong tuan rumah untuk mereka selesa di depan dengan empat jaringan tanpa balas.

Penyerang Jesus Melliza melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk meledak jaringan ketiga Filipina pada minit ke-50.

Penyerang berusia 20 tahun yang dilahirkan di Aarhus, Denmark, Sebastian Rasmussen, pula menggegar jaring pada minit ke-51.

Brunei kemudian memperoleh gol sagu hati menerusi Razimie Ramlli pada minit ke-70, yang juga jaringan pertama mereka di kejohanan kali ini selepas dibelasah 5-0 oleh juara bertahan Thailand Rabu (21 Dis) lalu.

Sentuhan Rasmussen terus menjadi apabila berjaya menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-88, sekali gus menghadiahkan jaringan kelima dan melengkapkan kemenangan pertama mereka kali ini.

Walaupun Thailand tidak beraksi pada Jumat, pasukan itu yang mempunyai kelebihan perbezaan jaringan kekal berada di tangga teratas Kumpulan A dengan tiga mata, diikuti Filipina di tempat kedua (tiga mata), Indonesia (tiga mata), Kemboja (tiga mata) manakala Brunei pula di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Aksi seterusnya menyaksikan Brunei bertemu Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dan Thailand pula menentang Filipina di Stadium Thammasat.

Kedua-dua perlawanan berlangsung pada 26 Disember nanti.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan