Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pesilat seni tunggal, regu wanita S'pura dinobat juara dunia

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pesilat seni tunggal negara Muhammad Iqbal Abdul Rahman dan pasukan regu wanita yang terdiri daripada Amirah Sahrin, Iffah Batrisya Noh dan Nur Ashikin Zulkifli menjadi juara dunia selepas masing-masing memenangi pingat emas di Kejuaraan Dunia Pencak Silat di Malaysia pada Jumaat (29 Jul).

REGU WANITA RANGKUL EMAS BUAT KALI PERTAMA

Setiap gerakan dan langkah selari, penuh semangat dan ekspresi.

Persembahan mendebarkan lagi cemerlang pasukan regu puteri memang layak menggelarkan mereka juara dunia buat kali pertama.

Srikandi-srikandi regu negara Amirah Sahrin, Iffah Batrisya Noh dan Nur Ashikin Zulkifli berjaya memungut 9.950 mata dan menang tipis ke atas pesaing dari Vietnam yang mendapat 9.945 mata.

"Kami tidak boleh percaya dan kami tidak menjangkakan kemenangan ini langsung. Kami tahu bahawa kami akan bersaing dengan negara-negara yang kuat. Memandangkan ini adalah kejuaraan kali pertama buat kami, mendapat emas telah melepasi jangkaan kami," kata ketiga-tiga pesilat itu secara bersama.

Kerja sepasukan ini baru sahaja bermula untuk mereka yang membuat penampilang sulung hanya di Sukan SEA di Hanoi pada bulan Mei lalu.

Meskipun terkandas di peringkat separuh akhir, regu puteri Singapura berjaya menyumbangkan pingat gangsa untuk negara.

Selepas pertandingan Sukan SEA, latihan mereka menjelang Kejuaraan Dunia Pencak Silat semakin dipergiat.

Seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

"Selepas berlatih dua hingga tiga kali sehari, menyertai perkhemahan latihan selama dua minggu dan tidak dapat berjumpa dengan keluarga kecuali pada hujung minggu, ia sangat berbaloi lebih-lebih lagi dengan kejuaraan dunia ini!" kata mereka.

"Untuk pertandingan ini, kita cuba memperbaiki langkah-langkah dan berlatih untuk menjadi lebih agresif dan mantap, yang membantu membuat rutin lebih baik," tambah pasukan regu wanita itu lagi.

JUARA DUNIA BERTAHAN MUHAMMAD IQBAL TANGKIS SEMUA LAWAN, MENANG PINGAT EMAS

Gong dihentak.

Pesilat seni tunggal putera negara Muhammad Iqbal Abdul Rahman, dengan senjata tongkat di tangan kanannya, berjaya menamatkan jurusnya dalam masa tepat 3.00 minit.

Saat Iqbal berjalan ke sudut arena, kedengaran sorakan pasukan negara di tempat duduk yang gembira berteriakan.

Pada saat itu jugalah, Iqbal menyedari bahawa beliau berjaya menumpaskan lawannya Luqman Laji dari Malaysia, sekali gus menggondol pingat emas dan bergelar juara dunia.

Tangisan mula membasahi pipi dan bendera negara ditebarkan dengan bangga.

Iqbal berkata: "Ia rasa sangat luar biasa. Bukan mudah untuk menang di Malaysia dan untuk mengalahkan lawan saya yang juga dari Malaysia dengan persembahan itu, saya rasa ia adalah cara yang terbaik untuk menang!"

Iqbal berjaya memungut 9.970 mata mengalahkan lawannya yang meraih 9.950 mata.
Kemenangan Iqbal juga bermakna bahawa beliau kini bergelar juara dunia kali kedua selepas pernah memenangi pingat emas di Kejuaraan Dunia Pencak Silat pada 2018 yang diadakan di Singapura.

Ternyata, kemenangannya juga sangat manis kerana ia seolah-olah menjadi hadiah awal buat hari jadinya yang jatuh pada hari ini (30 Jul).

Iqbal menyatakan bahawa kemenangannya juga tidak datang bergolek kerana perlu berhempas pulas di gelanggang setiap hari menjelang kejuaraan dunia tersebut.

Kejayaannya di gelanggang Malaysia juga menyusuli prestasi cemerlangnya di Hanoi, Vietnam semasa Sukan SEA 2021, di mana beliau turut memenangi pingat emas.

"Beberapa bulan ini sangat 'gila'! Perjalanan untuk dua pertandingan utama dan menang kedua-duanya dengan persembahan yang sangat baik. Inilah hasil yang saya inginkan daripada segala latihan saya dan apabila saya memandang kembali, saya rasa ia sangat berbaloi," ujar Iqbal.

Selepas kejuaraan dunia yang akan berlangsung hingga esok (31 Jul), Iqbal akan berehat seketika, sebelum membuat perancangan bagi pertandingan-pertandingan akan datang.

"Ini bukan yang terakhir untuk saya!" jamin Iqbal kepada semua.
PRESTASI MENGGALAKKAN PARA PESILAT NEGARA

Setakat Sabtu (30 Jul), para pesilat negara sudah menyumbang dua pingat emas, dan tiga pingat gangsa.

Pingat Emas:
1) Tunggal Putera (Seni) - Muhammad Iqbal Abdul Rahman
2) Regu Puteri (Seni) - Amirah Sahrin, Iffah Batrisya Noh dan Nur Ashikin Zulkifli

Pingat Gangsa
1) Regu Putera - Muhammadinil Musafar Mod Isa, Muhammad Nazrul Mohd Kamal, Muhammad Affiz Md Zakri
2) Tunggal Puteri - Siti Nazurah Mohd Yusoff
3) Ganda Putera - Muhammad Hazim Mohd Zaque, Muhammad Haziq Mohd Zaque

Singapura juga sudah dijanjikan sekurang-kurangnya lapan pingat gangsa hari ini (30 Jul), selepas lapan pesilat negara layak ke peringkat separuh akhir bagi kategori masing-masing.

Para pesilat itu ialah:
1) Siti Khadijah Mohd Shahrem (Kelas E Wanita)
2) Sheik Farhan Sheikh Alau'ddin (Kelas J Lelaki)
3) Nur Syaza Insyirah Md Roslan (Kelas B Wanita)
4) Nur Shaqira Sheikh Alau'ddin (Kelas F Wanita)
5) Dhani Andika Razali (Kelas A Lelaki)
6) Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin (Kelas I Lelaki)
7) Abdul Raazaq Abdul Rashid (Kelas E LEalki)
8) Nadhrah Sahrin (Kelas A Wanita)
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan