Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pesilat negara Suhaila, Iqbal bangga raih pingat emas - kini buat persiapan untuk Kejohanan Silat Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
03:10 Min
Setiap kali merasa keperitan dan keletihan semasa latihan dan pertandingan, srikandi negara Nurul Suhaila Mohd Saiful cuba memujuk dan meyakinkan dirinya bahawa usahanya ini semua akan menjadi berbaloi satu hari nanti.

BERITAmediacorp: Setiap kali merasa keperitan dan keletihan semasa latihan dan pertandingan, srikandi negara Nurul Suhaila Mohd Saiful cuba memujuk dan meyakinkan dirinya bahawa usahanya ini semua akan menjadi berbaloi satu hari nanti.

Lantaran itu, apabila pengadil di Sukan SEA Hanoi baru-baru ini mengangkat tangan beliau untuk menandakan beliau berjaya tewaskan pesaingnya, perasaan berbaloi itu akhirnya dapat dirasakan Suhaila.

Dalam tiga Sukan SEA berturut-turut sebelum ini sejak 2015, beliau hanya mampu meraih pingat gangsa. 

(Gambar: SportSG/Stanley Cheah)

Pada Sukan SEA ke-31, Suhaila akhirnya berjaya merangkul pingat emas setelah menundukkan pesaingnya Siti Shazwana Ajak dari Malaysia dengan markah 30-22. 

"Perasaan tentunya bersyukur, bangga tetapi lebih kepada lega dan ini satu perasaan yang sukar untuk digambarkan," kongsi atlit berusia 27 tahun itu kepada BERITAmediacorp. 

"Ini amat bermakna kepada saya, dan juga untuk membuktikan kepada diri saya dan ibu bapa saya bahawa semua masa yang diluangkan di dalam gelanggang berbanding di rumah sangat berbaloi," tambah beliau lagi. 

Namun, perjalanan Suhaila kali ini bukanlah mudah.

(Gambar: Singapore Silat Federation)

Selain perlu menyesuaikan diri dengan peraturan-peraturan silat yang baru, ini juga merupakan kali pertama beliau bertanding dalam acara tanding kategori 65 hingga 70 kilogram. 

"Saya tidak pernah bertanding dalam kategori ini tetapi saya amat bersyukur saya mengambil keputusan berani ini kerana saya tahu saya sudah memberikan yang terbaik dan mendapat hasil yang baik," ujar Suhaila. 

Menurutnya lagi, tiada strategi baru yang dilakarkan kali ini untuk sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam kerana baginya, kemahiran itu sudah ada dan hanya perlu diasah. 

"Saya rasa perubahan yang paling ketara dalam diri saya ialah keyakinan dan sikap tenang saya," luah Suhaila kepada BERITAmediacorp. 

Selain Suhaila, seorang lagi pesilat negara yang berjaya meraih pingat emas buat pertama kali di Sukan SEA ialah Muhammad Iqbal Abdul Rahman.

IQBAL EMOSI APABILA RANGKUL PINGAT EMAS 

Pesilat itu menang dalam acara seni tunggal lelaki peringkat akhir di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam selepas berjaya menewaskan lawannya dari Thailand, Ilyas Sadara.

Istimewanya, Iqbal membuka tirai kemenangan bagi pasukan negara setelah memenangi pingat emas pertama bagi pasukan Singapura dalam edisi sukan SEA kali ini.

(Gambar: SportSG/Andy Chua)

"Sudah tentu (kemenangan) ini segala-galanya buat saya. Emas pertama untuk saya dan emas pertama untuk Singapura. Ini adalah satu ganjaran bagi saya kerana saya tidak kira berapa emas dan semuanya kerana saya terlalu khusyuk dalam zon saya," kongsi Iqbal kepada BERITAmediacorp. 

"Ini adalah satu saat yang membanggakan bagi saya kerana saya sebenarnya tidak ingin pun melihat skrin di arena itu kerana saya hanya ingin mendengarkan sorakan (orang ramai). Jadi apabila saya mendapat tahu saya menang, saya berasa sangat emosi," tambah beliau yang sempat belanja rakan-rakan pasukannya makan di hotel sebaik sahaja selesai pertandingan itu.

Seperti Suhaila, Iqbal turut berkongsi bahawa beberapa penyesuaian perlu dilakukan dengan peraturan-peraturan baru. 

(Gambar: Singapore Silat Federation)

Dengan persediaan dilakukan semasa bulan Ramadan, ini juga merupakan antara cabaran yang dihadapi atlit itu.

Namun, apabila ditanya bagaimana beliau mengatasi cabaran ini, ini jawapan Iqbal: 

"Ini bergantung kepada latihan. Kami berlatih dengan kuat untuk sukan SEA ini dan apabila di sana, kami memberitahu diri kami bahawa ini semua akan menjadi berbaloi. Kami memberi yang lebih baik seperti mana kami berlatih."

Iqbal sebelum ini pernah memenangi empat pingat emas dalam Kejohanan Asia. 

UNTUK PERTAHANKAN KEDUDUKAN JUARA DUNIA LEBIH SUKAR DARIPADA MENANG 

Jadi apakah langkah seterusnya bagi kedua-dua juara dunia ini?

Menurut Iqbal dan Suhaila, mereka akan terus berlatih bagi mempersiapkan diri untuk beraksi di Kejohanan Silat Dunia yang bakal berlangsung pada bulan Julai nanti. 

"Memasuki perlawanan ini akan menjadi lebih mencabar kerana kali ini kami datang sebagai juara bertahan dan orang kata lebih susah untuk mempertahankan (kejuaraan) daripada menang," ujar Iqbal.

Perasaan ini turut dirasakan oleh Suhaila tetapi beliau tetap berasa "amat teruja" untuk bertanding lagi.

Di Kejohanan Silat Dunia akan datang, kedua-dua atlit ini bakal bertanding untuk mempertahankan kedudukan masing-masing sebagai juara dunia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan