Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pesilat M'sia Al Jufferi mengamuk setelah kalah di tangan pesilat Indonesia

Jaguh silat Malaysia, Mohd Al Jufferi Jamari mengamuk dengan menumbuk tembok di bilik salin pakaian sehingga berlubang.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesilat M'sia Al Jufferi mengamuk setelah kalah di tangan pesilat Indonesia

Tembok yang ditumbuk pesilat Malaysia, Al Jufferi. (Gambar: Merdeka.com)

Diterbitkan : 28 Aug 2018 06:19PM Dikemas Kini : 28 Aug 2018 06:28PM

INDONESIA: Jaguh silat Malaysia, Mohd Al Jufferi Jamari mengamuk dengan menumbuk tembok di bilik salin pakaian sehingga berlubang.

Ini selepas beliau tumpas 1-4 di tangan pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam pertarungan akhir Kelas E Putra, di Sukan Asia 2018.

Menurut laporan laman Merdeka.com, Al Jufferi menumbuk tembok bilik salin pakaian yang diperbuat dari papan lapis itu hingga berlubang kerana terlalu kecewa dengan keputusan juri yang dinilainya banyak berat sebelah kepada lawannya.

Seorang kakitangan media Indonesia, Liputan6.com, yang enggan namanya didedahkan, turut mengesahkan insiden tersebut.

"Iya benar, tadi dia mengamuk dan memukul tembok hingga bolong (berlubang). Bilik salin pakaian ada di belakang lokasi pertandingan," katanya.

Dalam pertandingan yang diadakan di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah semalam (27 Ogos), Al Jufferi menarik diri daripada pertarungan hanya dua saat sebelum tamat aksi perlawanan.

Beliau mendakwa peringkat akhir yang disaksikan ribuan penyokong tuan rumah dicemari keputusan berat sebelah oleh para juri yang mengadili perlawanan tersebut, menurut laporan Bernama.

“Perlawanan itu saya yang menang. Ketidakadilan itu jelas berlaku dan saya tidak menyalahkan sesiapa meskipun pesilat (Komang) tetapi ia adalah masalah berpunca daripada juri.

“Ia adalah perlawanan yang tidak adil sebab itu saya keluar dari gelanggang. Sebagai Olahragawan negara, saya kecewa dan tidak boleh menerima keputusan tersebut. Saya menghormati semua pihak tetapi saya tidak boleh nak hormat juri tersebut,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas upacara penyampaian pingat di sini, hari ini semalam.

Sememangnya perasaan kekecewaan yang dirasakan Al Jufferi begitu jelas kelihatan menerusi satu video yang dimuat naik ke laman Instagram oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi video itu, Syed Saddiq dilihat cuba memujuk dan memeluk Al Jufferi yang sedang menangis dan meminta maaf.

Sekalipun begitu, Syed Saddiq menyatakan bahawa pesilat Malaysia itu tidak perlu meminta maaf: "Jangan sesekali minta maaf. JANGAN. Saya tidak akan terima".

Beliau turut menyelar para pengkritik jenis baling batu sembunyi tangan kerana hanya tahu mengkritik atlit negara.

"Lihat sahaja bagaimana 'Hero' kita berjuang demi memartabatkan nama baik negara tercinta. Saya berdiri teguh bersama anda perwira kita," menurut Syed Saddiq dalam catatan di laman Instagramnya itu.

Mengulas lanjut, Al Jufferi berkata sekiranya sukan pencak silat ini terus dicemari dengan ‘permainan’ kotor ia mungkin akan menutup peluang sukan itu untuk terus dipertandingkan pada edisi akan datang.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan