Pertarungan Argentina-Perancis 'perlawanan akhir terbaik dalam sejarah Piala Dunia'

Gambar: Mike Egerton/AP
"Kami seolah-olah tidak dapat bernafas di sini. Ia adalah perlawanan akhir yang menakjubkan. Saya berasa senang berada di sini. Saya tidak pernah menyaksikan sebarang perlawanan seperti ini. Ia menggemparkan," kata bekas pemain pasukan England Alan Shearer kepada BBC.
"Kita tidak akan pernah menyaksikan perlawanan seperti ini lagi," menurut bekas pemain pertahanan England Rio Ferdinand, menurut laporan BBC.
Ia mempunyai segala-galanya. Bintang-bintang bola sepak Lionel Messi dan Kylian Mbappe beradu kehebatan. Jaringan gol penyamaan yang penuh dramatik. Dan tendangan penalti menggerunkan yang menjadi penentu keputusan perlawanan.
Sungguhpun para peminat bola sepak menumpang gembira bersama Messi kerana akhirnya dapat menjulang piala berprestij yang diidam-idamkannya sejak sekian lama, Rio Ferdinand turut menyanjung Kylian Mbappe kerana menjadi pemain pertama untuk menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia sejak Geoff Hurst pada 1966, lapor Daily Mail.
Dalam catatan Twitter, bekas pemain penyerang England Michael Owen berkata: "Tahniah, Argentina. Perlawanan luar biasa. Pastinya perlawanan akhir terbaik dalam sejarah?
"Messi mengecapi puncak kerjaya yang luar biasa tetapi fikirkanlah tentang Mbappe, yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia tetapi pulang dengan tangan kosong."
"Perlawanannya gila. Saya tahu kami mempunyai perlawanan yang baik, kami sepatutnya boleh menang dalam 90 minit pertama," katanya.
"Saya mempunyai perasaan terbaik. Yang penting sekali adalah bagaimana kami mencapainya."
Tendangan penalti Messi dan jaringan gol Angel Di Maria pada separuh pertama kelihatan dapat memuktamadkan kemenangan Argentina, namun Mbappe kemudian menjaringkan dua gol pada lewat perlawanan - termasuk satu tendangan penalti - sehingga masa perlawanan dilanjutkan.
Dalam saat-saat mendebarkan semasa waktu tambahan, jaringan gol Messi pada minit ke-108 seolah-olah membayangkan kemenangan Argentina.
Namun Mbappe, sekali lagi, menjaringkan gol penyamaan dari petak penalti.
"Jika ada sesiapa yang masih belum menganggap bola sepak sebagai sukan terbaik..." kata bekas pemain tengah Arsenal Cesc Fabregas dalam catatan Twitter ketika para pemain mengambil tempat dalam petak penalti, lapor CNN.
Debaran turut dirasakan oleh bintang-bintang sukan lain dan para selebriti.
"Okey, jika saya mengalami serangan jantung, ia kerana saya sedang menonton #FIFAWorldCup," kata Serena Williams dalam catatan Twitternya menurut laporan CNN.
"Perlawanan ini menakjubkan dan memukau. Saya sangat menyukainya; hentikannya," kata pelakon Ryan Renolds di laman Twitter sejurus selepas Messi menjaringkan gol ketiga.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.