Pertandingan Semarak Seni Silat Singapura himpun lebih 200 pesilat, penyertaan naik seganda berbanding tahun lalu
Pertandingan Semarak Seni Silat Singapura tahun ini menyaksikan penyertaannya meningkat seganda berbanding tahun lalu, dengan lebih 200 pesilat daripada 20 perguruan tempatan mengambil bahagian.
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Pertandingan Semarak Seni Silat Singapura tahun ini menyaksikan penyertaannya meningkat seganda berbanding tahun lalu, dengan lebih 200 pesilat daripada 20 perguruan tempatan mengambil bahagian.
Lebih 60 peratus daripada peserta terdiri daripada kanak-kanak dan belia, sejajar dengan matlamat acara itu untuk menyemarakkan kembali silat seni tradisional.
Pertandingan itu menampilkan beberapa kategori termasuk Solo Bebas Asli, Ganda Tempur Asli, Solo Kreatif, Silat Pengantin dan Massal Bebas Asli (Berkumpulan).
Pemenang kategori Solo Bebas Asli Terbuka, Encik Juzaidy Charidi, melahirkan rasa gembira kerana adanya pertandingan silat seni tradisional.
"Kita daripada perguruan sendiri dapat mempamerkan aliran dan permainan kita. Kita dapat melihat dan mengenal aliran, bunga, jurus-jurus perguruan lain, kita dapat kenal juga permainan mereka," kata Encik Juzaidy.
Semangat untuk mendedahkan silat seni tradisional turut dilihat melalui penyertaan yang tinggi daripada kanak-kanak dan belia.
"Bagusnya ada pertandingan seni silat lagi-lagi untuk kanak-kanak dan remaja, kita dapat perkenalkan mereka kepada akar silat sebenar. Dari segi tanding memang ada pertandingan, tetapi pertandingan seni, mereka dapat belajar akar perguruan mereka dan perguruan lain," tambah Encik Juzaidy yang merupakan pesilat dari Perguruan Seni Bela Diri Tapak Suci Singapura.
Tetamu terhormat Menteri Kemampanan dan Sekitaran (MSE) yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong East-Bukit Batok Grace Fu memuji pelaksanaan acara itu dan berpendapat golongan muda perlu terus dilibatkan bagi melestarikan warisan silat seni ini.
"Seni silat ini bukan sahaja satu sukan, bahkan ia adalah tentang warisan Melayu anda. Ia satu bentuk seni yang sangat berdisiplin, memerlukan banyak kerja keras dan hormat kepada para seteru anda. Kami ingin sekali menyokong usaha ini untuk bertahun-tahun lagi dan melihat apa lagi cara untuk menyokong anda," ujar Cik Fu.
Di akhir pertandingan yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Kelab Masyarakat Yuhua, Perguruan SiLek Harimau Minangkabau Singapura muncul sebagai juara keseluruhan.
KEMBALI SEMARAKKAN SENI SILAT TRADISIONAL
Seni silat sangat sinonim dengan pertandingan-pertandingan silat antarabangsa zaman sekarang seperti Sukan SEA.
Antara kategori dalam pertandingan sebegitu termasuk tunggal dan regu, di mana para pesilat mempersembahkan jurus yang sudah ditetapkan mengikut standard antarabangsa.
Hakikatnya, jurus sebegitu juga mengambil unsur-unsur dan aliran daripada seni silat tradisional - yakni seperti silat Minangkabau ataupun silat Melayu.
Namun, seni silat tradisional sebegitu semakin jarang dilihat di mata masyarakat pada masa kini.
Lantaran itulah, acara Semarak Seni Silat Singapura diadakan untuk mempamerkan permainan tradisional dan gaya unik setiap perguruan yang ada di Singapura.
Guru Utama Seligi Tunggal Nusantara, Encik Khaizuran Ahmad berkata: "Antara matlamat kami mengadakan pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan lagi tradisi pencak silat di Singapura, khususnya tradisi aliran yang sudah lama tidak diketengahkan. Antara perkara penting, mengeratkan silaturahim antara perguruan di Singapura."
"Mungkin 30 tahun dahulu, pertandingan silat lebih kepada silat tradisi dan selepas itu dibakukan dan lebih kepada olahraga, tanding dan seni tunggal dan sebagainya. Kami ingin mengembalikan semula aliran perguruan masing-masing di mana tradisi nampak lebih jelas dan juga kepelbagaian aliran di Singapura," tambah beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.