Skip to main content

Sukan

PERSISI tawar khidmat korban di Australia, Indonesia; kumpul dana bantu pesilat bukan penerima biasiswa

Sempena Aidiladha yang bakal menjelang, Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, El-Malja untuk menawarkan khidmat korban dan akikah.

Anggaran Waktu Membaca:
PERSISI tawar khidmat korban di Australia, Indonesia; kumpul dana bantu pesilat bukan penerima biasiswa

Poster bagi khidmat korban dan akikah yang ditawarkan PERSISI dengan kerjasama El-Malja. (Gambar: Facebook/PERSISI)

SINGAPURA: Sempena Aidiladha yang bakal menjelang, Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, El-Malja untuk menawarkan khidmat korban dan akikah.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan secara online sebelum 20 Julai untuk melakukan ibadah tersebut yang akan dijalankan di Indonesia atau Australia dengan sijil korban atau akikah dikirimkan ke Singapura dalam tempoh sebulan kemudian.

Harga daging korban adalah S$190 bagi seekor kambing di Indonesia dan antara S$320 hingga S$360 untuk kambing Australia. Sementara itu, sepertujuh lembu Australia pula dianggarkan S$310, manakala seekor lembu sekitar S$2,050.

Dalam pada itu, yuran penghantaran antara S$15 hingga S$75 akan dikenakan untuk membawa masuk daging korban dari Australia ke Singapura mulai 8 Ogos kelak dan para pelanggan juga boleh memilih untuk mendermakan saja daging korban kepada golongan memerlukan di sana.

BANTU PESILAT TANAH AIR

Selain membantu untuk memudahkan pelaksanaan ibadah korban dan akikah buat masyarakat Islam di Singapura di tengah-tengah pandemik COVID-19, projek yang buat julung-julung kalinya dianjurkan PERSISI itu juga merupakan usahanya mengumpul dana bagi pendekar dan srikandi tanah air.

Persekutuan tersebut merancang untuk mengumpul antara S$3,000 hingga S$5,000 bagi menyokong para atlit tanah air yang bukan penerima biasiswa untuk menjalani latihan.

"Buat masa ini, hanya atlit yang di bawah biasiswa Spex (Kecemerlangan Sukan) layak menerima pembiayaan dana daripada pemerintah.

Para pesilat seni di gelanggang Kejohanan Silat Sedunia 2018. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

"Selain itu, dana berkenaan juga adalah bagi menampung kos peralatan baru yang diperlukan untuk berlatih di bawah peraturan-peraturan baru (yang diperkenalkan ekoran COVID-19)," jelas PERSISI ketika dihubungi BERITAmediacorp. 

Oleh itu, persekutuan tersebut mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menghulurkan bantuan di samping melakukan ibadah korban.

Menurut PERSISI lagi, ia akan terus menerima tempahan sehingga tarikh tutup yang ditetapkan.

Orang ramai juga dinasihati supaya membuat bayaran penuh dalam tempoh 24 jam selepas menerima emel pengesahan daripada pihak penganjur bagi memastikan proses tempahan mereka berjalan lancar.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita