Persekutuan Sukan Selam Singapura palsukan keputusan pemilihan Sukan SEA 2023: SNOC, SportSG
Persekutuan Sukan Selam Singapura (SUF) menyerahkan keputusan palsu bagi acara renang sirip berganti-ganti di permukaan air (surface relay finswimming) 4x200m wanita semasa proses pemilihan Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023.

Seorang perenang sirip di Sukan SEA 2023. (Gambar: Facebook/SNOC)
Perkara tersebut didedahkan pada Rabu (19 Mac) oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Sport Singapore (SportSG). Aduan polis sudahpun dibuat pada Selasa.
Satu pasukan yang terdiri daripada Bernice Ting, Jamie Ang, Vanessa Ong dan Jovita Ho kemudian mewakili Singapura dalam acara tersebut di Sukan SEA 2023. Mereka menamatkan perlumbaan di tempat terakhir dalam pusingan akhir yang disertai empat pasukan, kira-kira 50 saat di belakang juara dari Vietnam.
Sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan oleh kedua-dua pihak berkuasa sukan pada 1 Julai 2024 untuk menyiasat dakwaan SUF memalsukan keputusan.
Jawatankuasa tersebut diterajui Encik Lau Kok Keng, rakan kongsi di Rajah & Tann, yang juga ahli jawatankuasa eksekutif SNOC. Ia turut dianggotai wakil dari SNOC dan SportSG.
Siasatan berakhir pada Februari.
“Hasil siasatan mendapati keputusan yang diserahkan sememangnya dipalsukan,” menurut SNOC dan SportSG dalam satu kenyataan media bersama.
“Siasatan juga mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus serta kegagalan SUF dalam melaporkan salah laku pihak yang terlibat.”
Jawatankuasa siasatan turut mengemukakan beberapa cadangan yang akan dipertimbang dan dilaksanakan SportSG dan SNOC untuk mengukuhkan integriti proses penyerahan keputusan oleh persatuan sukan kebangsaan bagi pemilihan temasya sukan utama.
SUF kekal digantung SNOC selepas keahliannya dibatalkan pada Disember 2023 berikutan penggantungan oleh persekutuan antarabangsanya berhubung satu isu berasingan.
SportSG juga telah menggantung sokongan bagi pentadbir, atlet dan keahlian jurulatih dalam Daftar Jurulatih Kebangsaan yang terlibat.
“SNOC dan SportSG tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang menjejas integriti proses pemilihan temasya sukan utama,” menurut pihak berkuasa tersebut.
“Kami mengambil peluang ini untuk mengingatkan masyarakat sukan kita supaya menegakkan tahap profesionalisme dan integriti yang tertinggi dalam tingkah laku mereka.
“Persatuan sukan kebangsaan mesti bertanggungjawab dalam menyerahkan data yang tepat dan sahih.”
Semua persatuan sukan kebangsaan diwajibkan membuat pengisytiharan tambahan bagi mengesahkan kesahihan setiap dokumen sokongan yang dikemukakan untuk pemilihan ke temasya sukan utama.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, SportSG juga akan mempertingkatkan semakan bagi mengesahkan kesahihan semua dokumen sokongan dan data yang dikemukakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.