Skip to main content

Sukan

Persekutuan Bola Sepak Jerman timbang bidaan anjur Piala Dunia FIFA 2038 atau 2042

Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) sedang mempergiatkan usaha untuk membida hak penganjuran Piala Dunia FIFA 2038 atau 2042, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Anggaran Waktu Membaca:
Persekutuan Bola Sepak Jerman timbang bidaan anjur Piala Dunia FIFA 2038 atau 2042
Trofi Piala Dunia FIFA pada 5 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Mandel Ngan)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 Jun 2026 02:11PM
BERLIN: Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) sedang mempergiatkan usaha untuk membida hak penganjuran Piala Dunia FIFA 2038 atau 2042, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap DFB mengesahkan kepada dpa bahawa persekutuan itu buat kali pertama membentangkan ideanya kepada Jawatankuasa Eksekutif Liga Bola Sepak Jerman (DFL).

Setakat ini, belum ada keputusan sama ada untuk menyokong atau menolak bidaan tersebut.

Menurut akhbar Bild, sebanyak 14 stadium berkapasiti sekurang-kurangnya 40,000 penonton dimasukkan dalam projek berkenaan.

Bandar tuan rumah Euro 2024 iaitu Berlin, Dortmund, Munich, Stuttgart, Frankfurt, Cologne, Dusseldorf, Gelsenkirchen, Hamburg dan Leipzig dipilih bersama Bremen, Kaiserslautern, Monchengladbach dan Hanover.

DFB kini berbincang dengan para penggubal dasar berhubung sokongan, termasuk jaminan yang diperlukan badan induk bola sepak dunia FIFA serta sumbangan kewangan untuk menganjurkan Piala Dunia FIFA.

DFB juga merancang untuk mendapatkan penjelasan daripada FIFA mengenai bila badan itu akan menentukan tuan rumah Piala Dunia 2038 dan sama ada calon dari Eropah dibenarkan untuk membida pada waktu itu.

Statut FIFA baru-baru ini ditafsirkan sebagai menetapkan bahawa sesebuah benua perlu menunggu sebanyak dua edisi sebelum boleh membida semula untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

DFB berpandangan Eropah berkemungkinan tidak layak membida sehingga 2042 memandangkan Piala Dunia 2030 sebahagian besarnya akan berlangsung di Sepanyol dan Portugal (bersama Maghribi, selain satu perlawanan masing-masing di Uruguay, Argentina dan Paraguay).

Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada 2034.

Badan Olimpik Jerman (DOSB) merancang untuk membida Sukan Olimpik Musim Panas 2036, 2040 atau 2044, namun DFB tidak melihat perkara itu sebagai satu isu.

Sebelum ini, Brazil menganjurkan dua acara besar berturut-turut iaitu Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Amerika Syarikat juga akan berbuat demikian dengan Piala Dunia FIFA 2026 dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Jerman pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA lelaki pada 1974 dan 2006 serta Piala Dunia FIFA wanita pada 2011. Negara itu baru-baru ini menganjurkan Euro 2024 lelaki dan akan menjadi tuan rumah Euro Wanita 2029.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita