Persatuan Sepak Takraw M'sia disingkirkan; bukan lagi ahli gabungan ISTAF
(Gambar: Persatuan Sepaktakraw Malaysia - PSM/Facebook)
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berdepan 'jalan mati' dalam usaha menjernihkan hubungan dengan badan sukan antarabangsa.
Ini selepas Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan dengan serta-merta, lapor BH Online.
Menerusi surat bertarikh 21 Mac 2022 yang dihantar Timbalan Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat kepada Setiausaha Agung PSM, Abidullah Salleh beliau berkata Jawatankuasa Eksekutif ISTAF sudah meneliti laporan dikemukakan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan pada 20 Mei tahun lalu.
Katanya, Jawatankuasa Eksekutif ISTAF berpandangan bekas Presiden PSM, Ahmad Ismail dan PSM jelas melanggar perjanjian yang dimeterai pada 14 Mac 2008, lapor BH Online.
"Ini mengesahkan bahawa ASTAF telah mengesahkan hasil siasatan Jawatankuasa Disiplinnya, dan mengambil keputusan untuk memecat PSM berkuat kuasa pada 20 Mei 2021.
"Untuk rekod, tiada rayuan terhadap keputusan berkenaan diterima walaupun peringatan sudah dihantar kepada Setiausaha Agung PSM.
"Akibatnya, PSM tidak lagi menjadi ahli ASTAF, dan hubungan antara ASTAF dan PSM ditamatkan. Jawatankuasa Eksekutif ISTAF sudah menyemak laporan di atas yang dikemukakan oleh ASTAF mengenai pemecatan PSM.
"Perjanjian yang diberikan kepada Ahmad Ismail dan PSM bertarikh 14 Mac 2008 seperti yang dilampirkan di bawah ini sudah dibawa secara khusus kepada perhatian Jawatankuasa Eksekutif ISTAF.
"Oleh itu, ISTAF memutuskan untuk menamatkan keahlian Ahmad Ismail dan memecat PSM sebagai ahli gabungan ISTAF berkuat kuasa serta-merta," tulis Encik Boonchai dalam surat itu, yang dinukil BH Online.
Dalam surat itu, Encik Boonchai turut menyertakan isi kandungan perjanjian, ditandatangani pada 14 Mac 2008, yang berbunyi: "Sebagai pertimbangan terhadap resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di atas, kami dengan ini secara tidak boleh ditarik balik dan tanpa syarat mengakui, menerima dan bersetuju untuk mematuhi sepenuhnya perjanjian yang diberikan oleh kami dan seperti yang dinyatakan di atas.
"Sekiranya mana-mana pihak (Ahmad atau PSM) melanggar perjanjian ini (atau mana-mana bahagian daripadanya) pada bila-bila masa selepas ini, kami selanjutnya mengakui dan bersetuju bahawa ISTAF berhak tanpa syarat untuk mengambil apa-apa dan semua tindakan berkenaan terhadap kami sebagai ia difikirkan munasabah."
Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah menyusuli tindakan Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.
Menyusuli kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.
Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhan MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.
MSC yang diterajui Abdul Rahman sudah diterima sebagai ahli gabungan ASTAF yang baru berkuatkuasa 5 Mac lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.