Skip to main content

Sukan

Persatuan bola tampar China mohon maaf biar pemain pakai pelitup semasa perlawanan

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan bola tampar China mohon maaf biar pemain pakai pelitup semasa perlawanan

(Gambar: AFP/Ted Aljibe)

Diterbitkan : 26 Aug 2022 04:52PM
BEIJING: Persatuan Bola Tampar China memohon maaf pada Jumaat (26 Ogos) kerana gagal untuk memberitahu pasukan wanitanya supaya menanggalkan pelitup muka mereka semasa perlawanan Piala Asia di bandar Pasig, Filipina.

Pasukan tersebut tewas dalam set pusingan pembukaan perlawanan pada Khamis (25 Ogos) menentang Iran di mana para pemain memakai pelitup. Namun, mereka kemudian bangkit dan menang 3-1, sekaligus muncul di tangga teratas dalam kumpulan mereka. Pasukan itu akan mara ke pusingan suku akhir.

Beberapa pemain mula menanggalkan pelitup mereka sebelum tamatnya set pertama perlawanan di Pasig, menurut seorang wartawan AFP. Menjelang set kedua dan set ketiga, semua pemain sudahpun menanggalkan pelitup mereka.

China akan bersemuka dengan Australia pada Sabtu (27 Ogos) dalam pusingan lapan terakhir perlawanan.

Para pengguna di wadah media sosial China rata-rata melahirkan keprihatinan mereka terhadap kesihatan pemain dan menyifatkan pemakaian pelitup itu sebagai tindakan yang "tidak masuk akal".

"Saya ingat ini satu meme, saya tidak terfikir yang mereka akan betul-betul bermain dengan memakai pelitup!" tulis satu komen di wadah Weibo, yang menarik lebih 5,000 tanda suka.

Persatuan Bola Tampar China memohon maaf di halaman Weibonya kerana "mencetuskan keprihatinan yang meluas dalam kalangan masyarakat".

Ia menjelaskan pasukan tersebut meminta kesemua pemainnya untuk memakai pelitup apabila memasuki stadium itu selepas mendapat tahu bahawa pemain-pemain lain dijangkiti COVID-19.

"Memandangkan jawatankuasa penganjur tidak mempunyai peraturan jelas tentang sama ada atlit harus memakai pelitup atau tidak semasa perlawanan, atlit kami memakai pelitup selepas permulaan perlawanan untuk melindungi diri mereka," terang persatuan berkenaan.

"Disebabkan kekurangan pengalaman kami di lapangan, kami tidak sempat untuk mengingatkan para pemain supaya menanggalkan pelitup mereka tepat pada masanya."

Pasukan bola tampar wanita China adalah antara yang terbaik di dunia. Malah, mereka menjadi sensasi sukan serta teladan bagi kaum hawa di China selepas merangkul pingat emas dalam Piala Dunia 2019.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita