Perlawanan Zon ASEAN Piala AFC dibatalkan dek ‘cabaran’ COVID-19
Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini (7 Jul) mengumumkan bahawa perlawanan Zon ASEAN bagi Piala AFC 2021 dibatalkan disebabkan oleh "cabaran" mencari "tuan rumah sesuai" bagi perlawanan berpusat di tengah-tengah pandemik COVID-19.
(Gambar: AFC)
SINGAPURA: Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini (7 Jul) mengumumkan bahawa perlawanan Zon ASEAN bagi Piala AFC 2021 dibatalkan disebabkan oleh "cabaran" mencari "tuan rumah sesuai" bagi perlawanan berpusat di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Kumpulan G, H dan I serta perlawanan-perlawanan peringkat saringan turut terjejas.
Singapura sepatutnya menganjurkan perlawanan-perlawanan Kumpulan H dan I. Namun Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan pada Mei lalu bahawa ia akan menarik diri sebagai tuan rumah, dengan menyatakan "situasi COVID-19 tidak menentu di rantau ini" sebagai puncanya.
Wakil Singapura dalam pertandingan itu adalah Lion City Sailors dan Geylang International.
Lion City Sailors disenaraikan dalam Kumpulan H bersama dengan Saigon FC dari Vietnam, Persipura Jayapura dari Indonesia dan Kedah Darul Aman dari Malaysia manakala pasukan Geylang International pula dijadual bersaing dengan Terengganu FC dari Malaysia, Visakha FC dari Kemboja dan Lalenok United FC dari Timor Leste dalam Kumpulan I.
"Sebagai sebahagian daripada komitmen AFC untuk meneruskan Piala AFC 2021... perlawanan-perlawanan dan kumpulan-kumpulan Piala AFC 2021 di zon-zon yang masih belum selesai akan terus mengekalkan struktur keseluruhan pertandingan setelah mempertimbangkan format sedia ada serta kesediaan tuan rumah di setiap zon," menurut AFC dalam kenyataan di lamannya hari ini.
Pengundian peringkat kalah mati Piala AFC ditunda "buat sementara waktu" dari hari ini hingga 4 Ogos, menurut AFC.
Dengan perlawanan Piala AFC Zon ASEAN dibatalkan, ketua jurulatih Geylang International Noor Ali berkata kelab itu akan memberi tumpuan kepada Liga Perdana Singapura.
"Kami pastinya kecewa kerana tidak berpeluang untuk bertanding dalam Piala AFC sekali lagi kerana ini adalah kemunculan semula pasukan kami dalam pertandingan ini buat pertama kali sejak 2010," kata Noor Ali dalam satu kenyataan media.
"Bagaimanapun, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh AFC di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan akur bahawa kesihatan dan keselamatan semua orang sangat penting.
"Kami akan memberi tumpuan untuk mencatatkan prestasi yang hebat dalam Liga Perdana Singapura dan semoga kembali mendapat tempat di persada benua sekali lagi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.