Skip to main content

Sukan

Perlawanan persahabatan SG-Kepulauan Faroe di Dubai dibatal susuli konflik Timur Tengah

Perlawanan persahabatan pasukan bola sepak lelaki Singapura menentang Kepulauan Faroe di Dubai yang dijadual berlangsung pada 26 Mac dibatalkan menyusuli konflik di Timur Tengah.
Anggaran Waktu Membaca:
Perlawanan persahabatan SG-Kepulauan Faroe di Dubai dibatal susuli konflik Timur Tengah
Perlawanan persahabatan pasukan bola sepak lelaki Singapura menentang Kepulauan Faroe di Dubai dibatalkan. (Gambar: FAS)
Diterbitkan : 11 Mar 2026 01:44PM
SINGAPURA: Perlawanan persahabatan pasukan bola sepak lelaki Singapura menentang Kepulauan Faroe di Dubai yang dijadual berlangsung pada 26 Mac dibatalkan menyusuli konflik di Timur Tengah.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) membuat keputusan untuk membatalkan perlawanan tersebut selepas berunding dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Keputusan itu dibuat selepas penilaian teliti terhadap “situasi yang sedang berkembang di Timur Tengah dan potensi implikasinya terhadap perjalanan serta operasi perlawanan”, kata FAS pada Rabu (11 Mac) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

“Keselamatan dan kesejahteraan pemain, kakitangan kejurulatihan, pegawai serta penyokong kami kekal sebagai keutamaan.”

FAS menyatakan bahawa pasukan itu akan meneruskan persiapan menerusi “program latihan berpusat” di Singapura menjelang perlawanan akhir peringkat kumpulan Piala Asia menentang Bangladesh pada 31 Mac di Stadium Negara.

Singapura layak ke Piala Asia 2027 selepas mengalahkan Hong Kong pada November 2025 dan menduduki tangga teratas kumpulan dengan 11 mata.

Di bawah peraturan kejohanan, keputusan pertemuan antara pasukan diambil kira terlebih dahulu berbanding perbezaan gol apabila pasukan berkongsi jumlah mata yang sama.

Ini bermakna tempat Singapura dalam kejohanan benua itu sudah terjamin tanpa mengira keputusan pada hari perlawanan terakhir bulan ini, apabila ia menjadi tuan rumah kepada Bangladesh.

Hong Kong pula akan melakukan perjalanan untuk menentang India.

Perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Faroe itu sepatutnya menjadi perlawanan antarabangsa peringkat 'senior' pertama Singapura menentang anggota UEFA sejak keputusan seri 2-2 dengan Azerbaijan pada 2012.

Konflik di Timur Tengah tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan gelombang serangan ke atas sasaran di bandar-bandar Iran pada 28 Februari.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita