Skip to main content

Sukan

Perlawanan Liverpool-Bournemouth dihentikan seketika susuli hinaan perkauman terhadap Antoine Semenyo

Anggaran Waktu Membaca:
Perlawanan Liverpool-Bournemouth dihentikan seketika susuli hinaan perkauman terhadap Antoine Semenyo

Selepas separuh masa pertama, mesej antidiskriminasi disampaikan kepada penonton di Anfield. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 16 Aug 2025 11:44AM Dikemas Kini : 16 Aug 2025 11:45AM
LIVERPOOL, England: Perlawanan pembukaan musim Liga Perdana England antara Liverpool dan Bournemouth pada Jumaat terpaksa dihentikan seketika selepas penyerang pasukan pelawat, Antoine Semenyo, melaporkan menerima penghinaan berunsur perkauman daripada penonton.

Pengadil Anthony Taylor menghentikan permainan ketika Liverpool bersedia mengambil tendangan sudut pada minit ke-29 bagi menangani insiden tersebut, dan memanggil kedua-dua pengurus ke tepi padang.

Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, dan kapten Bournemouth, Adam Smith, turut dipanggil ke bangku simpanan untuk arahan lanjut sebelum perlawanan disambung semula empat minit kemudian.

Selepas separuh masa pertama, mesej antidiskriminasi disampaikan kepada penonton di Anfield.

Semenyo, 25 tahun, kemudian menjaringkan dua gol selepas permainan disambung semula, membantu pasukannya menyamakan kedudukan sebelum Liverpool bangkit semula dan meraih kemenangan 4-2 dengan jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Kami sangat prihatin terhadap dakwaan diskriminasi daripada sebahagian kawasan penonton,” kata Persatuan Bola Sepak (FA) England dalam kenyataannya.

“Kejadian seperti ini tidak mempunyai tempat dalam sukan ini, dan kami akan bekerjasama rapat dengan pegawai perlawanan, kelab-kelab terlibat dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan fakta diperoleh dan tindakan sewajarnya diambil.”

Jurulatih Liverpool, Arne Slot, menyatakan rasa kecewanya terhadap insiden itu.

“Jelas sekali kita tidak mahu perkara sebegini dalam bola sepak,” katanya.

“Kita sama sekali tidak mahu ini berlaku di Anfield... Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam bola sepak, apatah lagi di Anfield.”

Jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola, menambah: “Antoine dan pengadil terus maklumkan kepada kami. Individu yang terlibat telah dikenal pasti.

“Sangat memalukan perkara seperti ini masih berlaku. Ini perlawanan pertama musim ini, satu perlawanan bola sepak yang indah, tetapi saya terpaksa bercakap tentang perkara seperti ini pula.”

Insiden di Anfield ini berlaku beberapa hari selepas laporan bahawa pemain penyerang Tottenham Hotspur dari Perancis, Mathys Tel, turut menjadi sasaran penghinaan perkauman di media sosial selepas gagal menyempurnakan tendangan penalti dalam kekalahan pasukannya kepada Paris Saint-Germain dalam perlawanan Piala Super pada Rabu.
Sumber : Reuters/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita