Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley adalah acara "penyebar utama" COVID-19

Perlawanan akhir Euro 2020 antara England dengan Italy adalah acara "superspreader" atau penyebar utama, di mana begitu ramai orang dikesan dijangkiti COVID-19 - baik di Stadium Wembley atau kawasan sekitarnya - di London pada hari tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley adalah acara "penyebar utama" COVID-19

Para penonton di luar Stadium Wembley di perlawanan akhir Euro 2020. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 21 Aug 2021 08:01AM Dikemas Kini : 21 Aug 2021 08:02AM

LONDON: Perlawanan akhir Euro 2020 antara England dengan Italy adalah acara "superspreader" atau penyebar utama, di mana begitu ramai orang dikesan dijangkiti COVID-19 - baik di Stadium Wembley atau kawasan sekitarnya - di London pada hari tersebut.

Demikian menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat (20 Ogos).

Badan Kesihatan Awam England menyatakan bahawa 2,295 individu mungkin berada dalam keadaan berjangkit pada ketika itu dengan lagi 3,404 individu pula mungkin dijangkiti semasa perlawanan pada 11 Julai lalu.

"Perlawanan akhir Euro adalah acara penyebar utama," isytihar akhbar Times.

Perlawanan berkenaan dengan sekitar 67,000 orang di dalam stadium, merupakan perlawanan akhir pertama England dalam sesebuah kejohanan bola sepak antarabangsa sejak negara itu menjadi tuan rumah dan menjuarai Piala Dunia 1966.

"Euro 2020 merupakan acara unik dan tidak mungkin kami akan menyaksikan kesan serupa ke atas kes-kes COVID-19 daripada acara-acara pada masa hadapan," kata Timbalan Pengarah Perubatan Kesihatan Awam England Jenifer Smith dalam satu kenyataan.

"Namun, data tetap menunjukkan bagaimana mudahnya virus itu boleh menular apabila terdapat kontak rapat dan ia sepatutnya menjadi amaran kepada kami semua sedang kami cuba kembali semula ke norma berjaga-jaga."

Acara-acara percubaan lain sepanjang tempoh empat bulan menunjukkan keputusan positif ujian COVID-19 yang jauh lebih rendah dan jumlahnya adalah sejajar atau kurang berbanding purata nasional.

Misalnya, Grand Prix Formula One Britain di Silverstone pada Julai menarik seramai 350,000 penonton, iaitu yang paling besar dianjurkan Britain dalam tempoh lebih 18 bulan, sepanjang tiga hari dan hanya mencatat 585 kes menyusuli ujian dan pengesanan.

Dalam kalangan kes-kes tersebut, 343 disyaki berada dalam keadaan berjangkit pada waktu acara itu dan bakinya dipercayai dijangkiti semasa acara tersebut.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan