Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Perguruan Alhaq muncul juara bagi Kejohanan Silat Kesenian Tunas Harapan 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Perguruan Alhaq muncul juara bagi Kejohanan Silat Kesenian Tunas Harapan 2024

(Gambar: Facebook/Seligi Tunggal Kemuning)

SINGAPURA: Perguruan Alhaq muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Silat Kesenian Tunas Harapan tahun ini dengan meraih lapan pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Perguruan itu adalah antara lapan perguruan silat di Singapura yang menyertai kejohanan tersebut.

Mereka ialah:

1. Perguruan Tapak Suci Singapura
2. Perguruan Seligi Tunggal Kemuning Singapura
3. Perguruan Seni Silat Gayong Singapura
4. Perguruan Alhaq
5. Perguruan Pencak Sendeng
6. Perguruan Seni Grasio (Hillview)
7. Persatuan Seni Silat Harimau
8. Persatuan Kemuning Singapura

Secara keseluruhan, 137 kanak-kanak dan remaja berusia 7 hingga 16 tahun membuka langkah di gelanggang silat tersebut untuk merebut gelaran juara tahun ini.

Terdapat enam kategori dalam kejohanan yang berlangsung selama hampir 10 jam itu.

Ini termasuk kategori Tunggal Putera dan Puteri, Ganda Putera dan Puteri, persembahan silat pengantin dan secara berkumpulan.

Kumpulan A melibatkan peserta berumur 12 tahun ke bawah manakala kumpulan B mereka yang berumur 13 hingga 16 tahun.

Kejohanan yang berlangsung pada Ahad (8 Dis) di Kelab Masyarakat Joo Chiat itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Kemuning Singapura dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marine Parade.

Ia turut disokong Jawatankuasa Pentadbir Kelab Masyarakat Joo Chiat (CCMC) dan Persekutuan Silat Singapura (SSF).

PENTING UNTUK LESTARIKAN SENI SILAT BUAT GENERASI MUDA

Kejohanan yang sudah dianjurkan sejak 1993 itu bertujuan untuk memastikan seni silat terus kekal relevan dalam kalangan masyarakat di sini.

Dalam masa yang sama, menggalakkan generasi muda meneruskan dan melestarikan tradisi silat sebagai warisan budaya dan bangsa.

"Tujuan pertama kejohanan ini diadakan adalah untuk mengasah pesilat-pesilat generasi baru supaya dapat lagi meningkatkan lagi prestasi mereka supaya mereka akan menjadi lebih baik pada masa akan datang dan juga dalam peringkat nasional dan juga antarabangsa.

"Harapan kita dapat mempromosikan seni silat kita ini kepada kaum-kaum lain dan juga masyarakat di Singapura ini," kata Guru Utama Seligi Tunggal Kemuning, Muhsin Mansor.

Selain tumpuan kepada silat sebagai seni pertahanan diri, Encik Muhsin berpendapat bahawa silat kesenian juga sama penting dan harus dilestarikan.

"Ia amat penting untuk mempertunjukkan seni kesenian di Singapura Ini supaya kami dapat mengekalkan budaya kesenian kita dan juga dengan harapan ramai lagi pesilat-pesilat generasi muda dapat teruskan legasi seni kita ini," tambah beliau.

Setiausaha Kelab Masyarakat Marine Parade MAEC, Rohaidah Rahmat juga berpendapat bahawa silat kesenian membawa makna yang lebih mendalam.

"Ia membina semangat patriotik, ada unsur-unsur dan nilai-nilai luhur seperti disiplin dan kelakuan yang baik. Selain daripada itu, ia meningkatkan pembelaan diri, kewibawaan diri dan para remaja akan mendapatkan rohani jasmani yang baik.

Pihak penganjur bagaimanapun berkongsi bahawa mereka berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan penaja bagi acara dan bakat-bakat muda untuk menyertai acara itu.

Menurut Cik Rohaidah, ia mungkin disebabkan oleh masalah komitmen para remaja untuk melibatkan diri dalam kejohanan tersebut.

PESERTA TERUJA DAPAT SERTAI ACARA KEJOHANAN

Antara mereka yang teruja dapat terlibat dalam kejohanan tahun ini adalah Aryan Sufi Putera Iskhandar, 10 tahun daripada Perguruan Al Haq dan Insyirah Shajib, 14 tahun daripada perguruan Seligi Tunggal Kemuning.

"Saya tidak rasa takut atau gemuruh (untuk masuk pertandingan ini) kerana saya tidak takut dengan orang ramai kerana di sekolah saya buat banyak persembahan," kata Aryan.

Insyirah pula berasa ia adalah peluang yang baik untuk mengukuhkan silaturahim antara para pesilat.

"Motivasi saya untuk menyertai kejohanan ini ialah untuk merapatkan hubungan bersama teman-teman saya dan juga mengeratkan silaturahim bersama kumpulan saya," katanya.

Naib juara kejohanan diraih perguruan Seligi Tunggal Kemuning Singapura dan tempat ketiga dimenangi perguruan Tapak Suci Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan