Perenang SG Zahra Izam, Nur Marina Chan bakal beraksi dalam Piala Dunia Renang Akuatik 2024
SINGAPURA: Peluang beraksi di kolam renang dengan sorakan penuh semangat daripada peminat tempatan adalah pengalaman yang tidak ternilai.
Itulah yang dinanti-nantikan perenang negara Zahra Izam, yang mewakili Singapura dalam acara Piala Dunia Renang Akuatik 2024.
Ia adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana ia merupakan kemunculan pertamanya dalam kejohanan itu.
Lebih 450 perenang dari 38 negara akan berentap dalam pusingan terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC pada 31 Oktober hingga 2 November.
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--ikW4on2l--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/img_8067.jpg?itok=pqI8EGwX)
"Saya berasa teruja kerana dapat mewakili Singapura dalam pertandingan ini. Saya juga tahu bahawa ramai perenang bertaraf dunia akan bertanding dalam peraduan ini.
"Saya tidak sabar untuk bertemu mereka dan saya juga bersyukur kerana diberi peluang ini. Saya juga bersyukur kepada jurulatih-jurulatih saya yang telah membantu saya bersedia untuk pertandingan ini," kongsi Zahra, 15 tahun, kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
JATUH SAKIT MINGGU LALU, TAPI GIAT BERLATIH SELEPAS PULIH
Walaupun ketinggalan beberapa sesi latihan akibat masalah kesihatan, semangatnya tetap utuh untuk terus berlatih dengan gigih.
"Sebenarnya saya jatuh sakit minggu lepas dan tidak dapat berlatih untuk beberapa hari. Sekarang saya sudah pulih dan saya yakin saya sudah bersedia untuk pertandingan ini. Saya telah berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini dan saya cuba menghadiri setiap sesi latihan dan membuat yang terbaik," ujar Zahra.
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--ZnMc0tLU--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/zahra_2.jpeg?itok=FcRNDZ6C)
Zahra mula berenang secara kompetitif pada usia 7 tahun di Elite Swim Club dan menyertai Pusat Latihan Nasional pada Oktober lalu.
Pelajar Sekolah Perempuan Methodist itu juga pernah mewakili Singapura dalam Kejohanan Pan Pacific Junior dan Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara SEA, menjadikannya sebahagian daripada generasi seterusnya yang akan mewakili negara.
BURU IMPIAN WAKIL SG DI PERTANDINGAN ANTARABANGSA SEPERTI SUKAN SEA, OLIMPIK
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--0LHKkpEC--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/zahra_1.jpeg?itok=PZgWQEbv)
Zahra akan bertanding dalam acara kuak lentang 100 meter dan 50 meter wanita dan berharap untuk memperbaiki prestasinya.
"Saya berharap bahawa saya dapat memperbaiki masa-masa saya dalam acara yang saya mengambil bahagian ini dan saya juga ingin berseronok dengan kawan-kawan saya dalam pertandingan ini," menurut Zahra.
Beliau juga memburu impian untuk mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan SEA, Kejohanan Dunia, dan Olimpik suatu hari nanti.
"Saya berharap bahawa saya dapat memperbaiki teknik renang saya. Saya juga beraspirasi untuk mewakili Singapura dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa," kata Zahra.
NUR MARINA CHAN GHAIRAH DAPAT BERTANDING DI NEGARA TANAH AIR DI SAMPING ATLET LUAR NEGARA
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--CMtyfT7V--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/img_8078.jpg?itok=49v83RUD)
Seorang lagi perenang negara yang bakal beraksi ialah Nur Marina Chan Shi Min Alif Abdullah, 26 tahun.
"Saya berasa sangat ghairah kerana mungkin sudah empat tahun sejak Piala Dunia diadakan di Singapura. Dan ia memberi saya peluang untuk bertanding dengan beberapa perenang yang berasal dari negara-negara yang lain dan itu yang membuat saya berasa sangat ghairah," kongsi Marina kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Menjelang pertandingan renang itu, Marina berkongsi harapannya untuk meraih kejayaan.
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--2ljL4FvH--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/432773041_798777675618558_2815214051996296501_n.jpg?itok=OySYIDZt)
"Untuk pertandingan ini, saya rasa saya akan cuba yang terbaik dan mungkin boleh memasuki peringkat akhir ataupun kalau keputusan (yang diterima) adalah yang terbaik, ialah untuk meraih pingat. Tetapi ia adalah merupakan sesuatu yang istimewa untuk berada di 'home crowd' di Singapura sejak saya rasa tahun 2015 bagi Sukan SEA. Jadi ini adalah satu detik istimewa yang saya ingin dakapi dan melihat apa yang akan terjadi."
Marina bukan wajah baharu dalam dunia renang, kerana pernah mewakili Singapura dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA, Sukan Asia, dan Sukan Komanwel.
Antara pencapaian Marina yang membanggakan adalah apabila menjuarai acara renang 4x100 meter gaya bebas berganti-ganti wanita di Sukan SEA di Kemboja tahun lalu.
Selain itu, beliau juga telah mencatat beberapa rekod negara di bawah 17 tahun sepanjang kerjayanya.
BATU LONJATAN UNTUK PERSIAPKAN DIRI BAGI KEJOHANAN DUNIA, SUKAN SEA
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--4bZ0nM9M--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/432777226_798778572285135_9037075433692857763_n.jpg?itok=fJ9unZC3)
Marina sudah bersedia untuk mengharumkan nama negara sekali lagi.
Beliau akan bertanding dalam empat acara iaitu, acara Gaya Bebas 100 meter dan 50 meter wanita, Gaya Kupu-Kupu 50 meter wanita dan dan medley wanita 100 meter.
Menurutnya, peluang untuk bertanding kali ini adalah satu batu loncatan bagi persiapan menghadapi pertandingan akan datang seperti Kejohanan Dunia dan Sukan SEA.
"Kerana pertandingan ini di Singapura, ia seperti Kejohanan Dunia tahun hadapan dan oleh kerana Kejohanan Dunia itu pertandingan yang paling besar, mungkin kedua (terbesar) daripada Olimpik, jadi ini adalah 'trial run' atau ujian percubaan untuk saya bertanding di depan semua rakyat Singapura. Ia akan menjadi batu lonjatan yang baik untuk Kejohanan Dunia tahun hadapan dan juga untuk Sukan SEA pada Disember di Thailand (tahun hadapan)," ujar Marina.
![](https://onecms-res.cloudinary.com/image/upload/s--4E3-mkzK--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/10/30/432755152_798777658951893_7308059874759505250_n.jpg?itok=r-xkFyy6)
Perenang negara itu juga berkongsi tentang aspirasinya untuk kerjaya renangnya.
"Tahun ini tahun yang terbesar kerana ada Olimpik 2024 dan malangnya, saya tidak dapat pergi ke Olimpik 2024 tetapi ia tidak menghambat saya dalam kerjaya renang saya. Saya berasa seperti saya masih ada sesuatu yang lebih dalam diri saya untuk mungkin meraih pingat dalam Sukan SEA kerana tahun lalu di Kemboja, saya dapat menang perlumbaan gaya bebas wanita 4x100 meter di Sukan SEA.
Jadi Insya-Allah, tahun hadapan, saya melihat ke arah pingat dan berharap juga dalam meraih pingat individu juga. Dan selepas itu kalau saya ada usaha dan tenaga, saya akan teruskan (usaha) tetapi saya ingin mengambilnya tahun demi tahun," kongsi beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.