Perenang SG Yip Pin Xiu menang pingat emas kedua Sukan Paralimpik Paris 2024

(Gambar: SportSG/Eng Chin An)
SINGAPURA: Beberapa hari selepas mencipta sejarah, perenang Singapura Yip Pin Xiu mengharumkan nama negara sekali lagi dengan memenangi acara 50m kuak lentang S2 wanita di Sukan Paralimpik Paris 2024 pada Ahad (1 Sep).
Di Arena La Defence, juara bertahan dengan masa kelayakan terpantas dari peringkat saringan itu mencatatkan masa 1:05.99 untuk membolot pingat emas kedua di temasya sukan itu.
Perenang Mexico, Haidee Aceves meraih pingat perak (1:08.96) manakala perenang Sepanyol Teresa Perales (1:10.95) mendapat pingat gangsa.
Yip, 32 tahun, memenangi pingat emas dalam acara itu di Sukan Paralimpik 2016 dan 2020.
Atlet Paralimpik Singapura yang paling terkenal itu adalah pemegang rekod dunia bagi acara tersebut.
Yip juga adalah pemegang rekod dunia bagi acara 100m kuak lentang S2, dan pada Jumaat lalu, beliau memenangi pingat emas bagi acara tersebut, yang ketiga dalam Sukan Paralimpik.
Beliau sudah memenangi tujuh pingat emas Sukan Paralimpik dan merupakan satu-satunya warga Singapura yang memenangi pingat emas di peringkat Sukan Paralimpik.
Anda boleh ikuti liputan Sukan Paralimpik Paris 2024 secara langsung dan ulangan di mewatch. Lungsuri www.mewatch.sg/paris2024 bagi butiran lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.