Skip to main content

Sukan

Perenang SG Gan Ching Hwee cipta rekod nasional baharu, mara ke pusingan akhir Kejohanan Akuatik Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Perenang SG Gan Ching Hwee cipta rekod nasional baharu, mara ke pusingan akhir Kejohanan Akuatik Dunia

Perenang Singapura Gan Ching Hwee selepas pusingan saringan bagi acara 400m gaya bebas wanita semasa Kejohanan Akuatik Dunia FINA pada 27 Julai 2025. (Foto: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 28 Jul 2025 01:36PM Dikemas Kini : 28 Jul 2025 01:37PM
SINGAPURA: Hampir 24 jam selepas memecahkan rekod nasional yang sudah bertahan selama 15 tahun, perenang Singapura Gan Ching Hwee mencipta sejarah dengan mencatatkan rekod nasional yang baharu bagi acara renang 1,500m gaya bebas di Kejohanan Akuatik Dunia pada Isnin (28 Jul).

Di Arena Kejohanan Akuatik Dunia di Kallang, perenang berusia 22 tahun itu mencatatkan masa 16:01.29 untuk mengatasi rekod nasional yang lalu iaitu 16:10.13, yang dicatatkannya semasa Sukan Olimpik Paris 2024.

Gan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dan layak ke pusingan akhir - perenang wanita Singapura pertama untuk berbuat demikian sejak Tao Li pada 2007.

Pada Ahad (27 Jul), Gan mencatat masa 4:09.81 dalam acara 400m gaya bebas wanita, melepasi rekod nasional Lynette Lim yang dicatatkan semasa Sukan SEA pada Disember 2009.

Gan menduduki tangga ke-13 secara keseluruhannya di peringkat saringan, dengan Summer McIntosh dari Kanada memenangi acara itu.

Gan telah mempamerkan prestasi yang baik sejak kebelakangan ini.

Semasa Sukan Olimpik Paris pada tahun lalu, Gan mencipta dua rekod nasional bagi acara 800m gaya bebas dan 1500m gaya bebas. Gan adalah perenang wanita Singapura pertama yang berbuat demikian di temasya tersebut sejak Tao Li (100m kuak lentang) pada 2012.

Gan seterusnya akan menumpukan perhatiannya kepada acara 200m gaya bebas pada Selasa 929 Jul).

Awal hari ini, Quah Zheng Wen mencatat masa terbaik bagi musim ini dalam acara 100m kuak dada lelaki. Beliau menduduki tempat ke-29 secara keseluruhan dan gagal mara ke pusingan akhir.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita