Skip to main content

Sukan

Perenang Itali diberi amaran bersyarat berkaitan kes mencuri di Lapangan Terbang Changi

Dua perenang Itali diberi amaran bersyarat selama setahun pada 19 Ogos berhubung kes kecurian di Lapangan Terbang Changi.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Perenang Itali diberi amaran bersyarat berkaitan kes mencuri di Lapangan Terbang Changi

Perenang Itali Benedetta Pilato (kiri) dan Chiara Tarantino (kanan). (Gambar: AFP/Alberto Pizzoli, World Aquatics)

SINGAPURA: Dua perenang Itali diberi amaran bersyarat selama setahun pada 19 Ogos berhubung kes kecurian di Lapangan Terbang Changi.

Benedetta Pilato, 20 tahun, dan Chiara Tarantino, 22 tahun, diberkas pada 14 Ogos kerana mencuri di lapangan terbang tersebut, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis (4 Sep).

Pasangan tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke Itali selepas bercuti di Bali, menyusuli tamatnya Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura.

“Setelah menimbangkan fakta dan keadaan kes, serta dengan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), kedua-dua wanita itu diberi amaran bersyarat selama 12 bulan pada 19 Ogos,” menurut polis. Mereka menambah bahawa kedua-duanya juga akan dihalang daripada memasuki Singapura semula.

Mediacorp sudah menghubungi AGC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mengapa Pilato dan Tarantino tidak didakwa.

Polis mengatakan bahawa mereka sudah memaklumkan Kedutaan Itali mengenai kes tersebut supaya ia dapat memberikan bantuan konsular jika diperlukan.

Kedutaan Itali memberitahu Mediacorp pada Selasa bahawa ia campur tangan dan memberikan bantuan kepada kedua-dua perenang itu, sambil menambah bahawa mereka sudah pulang ke Itali pada 19 Ogos.

Pilato memenangi pingat gangsa dalam acara 50 meter kuak dada di kejohanan dunia di Singapura. Beliau juga pernah memenangi pingat emas dalam acara 100 meter kuak dada di kejohanan dunia 2022 dan menduduki tempat keempat bagi acara yang sama di Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Dalam satu catatan di Instagram, Pilato menulis: “Pada hari-hari yang sepatutnya digunakan untuk berehat dan menenangkan fikiran, saya melalui saat-saat yang amat sukar, jauh dari rumah, yang berlaku di luar kawalan saya, tetapi memberi kesan besar terhadap diri saya.”

Kata Pilato, dia bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura sejak awal, dengan “sokongan penuh” daripada Kedutaan Itali.

“Nasib baik, kejadian itu berakhir dalam masa beberapa jam, tanpa sebarang implikasi, hasil ketelusan saya dengan pihak berkuasa lapangan terbang Singapura.”

“Saya tidak pernah berniat melakukan perbuatan yang tidak wajar, dan mereka yang mengenali saya tahu betapa saya mementingkan nilai-nilai kesukanan, keadilan dan kejujuran peribadi,” tambah Pilato. “Daripada pengalaman ini, saya mendapat pengajaran besar tentang kewaspadaan, tanggungjawab peribadi dan betapa berharganya orang di sekeliling saya.”

Tarantino pula pernah memenangi pingat gangsa dalam acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti campuran di kejohanan Eropah 2021.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita