Skip to main content

Sukan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Utusan Trump usul gantikan Iran dengan Itali bagi Piala Dunia FIFA 2026

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Utusan Trump usul gantikan Iran dengan Itali bagi Piala Dunia FIFA 2026

Undian bagi perlawanan penentuan Piala Dunia FIFA 2026 dan Perlawanan Eropah di Ibu Pejabat FIFA, Zurich, Switzerland pada 20 November 2025. Pemandangan di luar ibu pejabat FIFA. (Gambar fail: REUTERS/Denis Balibouse/Foto Fail)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 23 Apr 2026 11:24AM Dikemas Kini : 23 Apr 2026 12:11PM
WASHINGTON: Seorang utusan kanan kepada Presiden Donald Trump telah meminta FIFA supaya menggantikan Iran dengan Itali dalam Piala Dunia FIFA 2026, lapor Financial Times (FT) pada Rabu (22 Apr).

Rancangan itu merupakan usaha untuk memperbaiki hubungan antara Encik Trump dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni selepas kedua-dua pemimpin itu bertelagah di tengah-tengah kritikan Encik Trump terhadap Pope Leo XIV berhubung perang Iran, lapor FT, yang menukil individu-individu yang mengetahui perkara itu.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah mencadangkan kepada Trump dan (Presiden FIFA Gianni) Infantino agar Itali menggantikan Iran di Piala Dunia FIFA 2026. Saya berasal dari Itali dan ia adalah satu impian untuk melihat pasukan Azzurri bertanding di kejohanan yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat. Setelah memenangi empat piala dunia, mereka (Itali) mempunyai sejarah untuk mewajarkan penyertaan mereka," kata Utusan Khas Amerika Syarikat Paolo Zampolli kepada FT.

Rumah Putih, FIFA, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Itali mengalami kejutan pada Mac lalu selepas pasukan bola sepaknya terlepas Piala Dunia FIFA buat kali ketiga berturut-turut menyusuli kekalahan 4-1 melalui tendangan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina dalam perlawanan bagi menentukan kelayakan mereka.

Iran layak ke Piala Dunia FIFA keempat berturut-turut tahun lalu tetapi selepas bermulanya perang, ia meminta FIFA memindahkan tiga perlawanan kumpulan pasukan dari Amerika Syarikat ke Mexico.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata dalam lawatan ke kem latihan skuad Iran di Turki bulan lalu bahawa semua perlawanan akan berlangsung seperti yang dijadualkan, sambil menawarkan bantuan kepada pasukan itu dengan persediaan untuk kejohanan tersebut.

"Kami sedang membuat persediaan dan aturan untuk Piala Dunia FIFA 2026, tetapi kami patuh kepada keputusan pihak berkuasa," kata Presiden Persekutuan BolaSsepak Iran (FFIRI) Mehdi Taj kepada para wartawan di perhimpunan pro-pemerintah di Tehran pada Rabu (22 Apr).

"Buat masa ini, keputusannya adalah untuk pasukan kebangsaan bersiap sedia sepenuhnya untuk Piala Dunia FIFA 2026."

Keputusan tentang negara mana yang akan diambil sekiranya Iran menarik balik pasukan itu terletak di tangan FIFA, yang di bawah Perkara 6 Peraturan Piala Dunia FIFA bebas untuk memanggil mana-mana negara yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu.

AFC dijangka akan melobi bagi memastikan pengganti Iran adalah dari Asia dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang tewas dalam perlawanan kelayakan kepada Iraq November lalu, menjadi pilihan yang jelas.

Walau bagaimanapun, UAE jauh daripada sejarah bola sepak Itali, setelah hanya muncul dalam satu edisi Piala Dunia FIFA pada tahun 1990 apabila mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Piala Dunia FIFA 2026, yang juga dihoskan bersama oleh Mexico dan Kanada, akan bermula pada 11 Jun dengan Iran dijadualkan memulakan kempen mereka menentang New Zealand di Los Angeles empat hari kemudian.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita