Perang Amerika, Israel dan Iran: ‘Iran akan turun padang di Piala Dunia FIFA 2026’, kata Presiden FIFA Infantino
Presiden FIFA Gianni Infantino berkata kepada AFP pada Selasa (31 Mac) bahawa Iran "akan bersaing di Piala Dunia FIFA 2026" dan akan beraksi dalam perlawanan kumpulan mereka di Amerika Syarikat seperti yang dijadualkan, tanpa mengira perang di Timur Tengah.
Presiden FIFA Gianni Infantino pada 31 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Kaan Soyturk)
"Iran akan bersaing di Piala Dunia FIFA 2026," kata Encik Infantino ketika waktu rehat separuh masa perlawanan persahabatan Iran menentang Costa Rica di Turki.
"Itulah sebabnya kami berada di sini. Kami gembira kerana mereka adalah sebuah pasukan yang sangat, sangat kuat, saya sangat gembira."
"Saya telah bertemu dengan pasukan itu, saya telah bercakap dengan para pemain dan jurulatih, jadi semuanya baik-baik sahaja," tambah Encik Infantino, yang hadir di perlawanan pada Selasa tanpa sebarang pengumuman awal.
Encik Infantino turut menegaskan bahawa perlawanan Iran "akan diadakan di tempat-tempat yang sudah dijadualkan, mengikut undian yang dijalankan sebelum ini".
Piala Dunia FIFA 2026 yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan bermula pada 11 Jun.
Iran dijadualkan menentang New Zealand dalam perlawanan pertama Kumpulan G di Los Angeles pada 15 Jun. Mereka kemudian dijadual menentang Belgium di Los Angeles pada 21 Jun dan Mesir di Seattle pada 27 Jun.
Penyertaan Iran sebelum ini diragui menyusuli perang dengan Amerika Syarikat dan Israel yang meletus pada 28 Februari.
Persekutuan Bola Sepak Iran sebelum ini menyatakan bahawa ia sedang "berunding" dengan FIFA untuk memindahkan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 pasukan itu dari Amerika Syarikat ke Mexico.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum turut berkata negaranya bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan peringkat kumpulan Iran jika perlu.
Encik Infantino pada awalnya berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberi jaminan bahawa pasukan Iran masih dialu-alukan.
Namun Encik Trump kemudian menyatakan bahawa pasukan Iran tidak sepatutnya melakukan perjalanan ke kejohanan tersebut "demi keselamatan nyawa mereka sendiri".
Iran membalas kenyataan Encik Trump dengan menyatakan bahawa "tiada sesiapa yang boleh menghalang pasukan kebangsaan Iran daripada menyertai Piala Dunia FIFA 2026".
Pada 19 Mac, Encik Infantino berkata FIFA komited untuk memastikan Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung "seperti yang dijadualkan" dengan "semua pasukan" mengambil bahagian.
"FIFA mengalu-alukan penyertaan semua pasukan di Piala Dunia FIFA 2026 untuk bersaing dalam semangat yang adil dan saling menghormati," kata Encik Infantino dari Zurich semasa mengadakan mesyuarat online Majlis FIFA.
"FIFA tidak dapat menyelesaikan konflik geopolitik, tetapi kami komited untuk menggunakan pengaruh bola sepak dan Piala Dunia FIFA untuk membina hubungan serta mempromosikan keamanan, sedang kami memikirkan mereka yang menanggung derita akibat peperangan yang berterusan," tambah Encik Infantino.
Iran juga beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang Nigeria di bandar Belek, Turki, pada Jumaat lalu.
Para pemain Iran memakai lilitan lengan berwarna hitam dan bergambar dengan beg sekolah ketika lagu kebangsaannya dimainkan bagi memperingati mangsa serangan yang dilancarkan ke atas sebuah sekolah rendah di Iran pada hari pertama perang di Timur Tengah.
Serangan udara ke atas sekolah tersebut yang terletak di bandar Minab, selatan Iran, pada 28 Februari lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 170 orang termasuk pelajar dan guru.
The New York Times melaporkan bahawa dapatan awal siasatan tentera Amerika Syarikat menunjukkan bahawa peluru berpandu Tomahawk milik Amerika Syarikat terkena sekolah tersebut akibat kesilapan pada sistem penyasaran serangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.