Skip to main content

Sukan

Penyokong England kecam harga tiket Piala Dunia FIFA 2026

Penyokong pasukan bola sepak England mengecam harga tiket Piala Dunia musim panas depan yang disifatkan “mengejutkan”, dengan amaran ia mungkin meningkat lagi bergantung kepada permintaan, lapor PA Media/dpa.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyokong England kecam harga tiket Piala Dunia FIFA 2026

FIFA menggunakan mekanisme harga berubah-ubah bagi tiket Piala Dunia musim panas. (Gambar hiasan: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Oct 2025 09:54AM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 03:08PM
LONDON: Penyokong pasukan bola sepak England mengecam harga tiket Piala Dunia musim panas depan yang disifatkan “mengejutkan”, dengan amaran ia mungkin meningkat lagi bergantung kepada permintaan, lapor PA Media/dpa.

Tiket mula boleh diakses pada Rabu (1 Okt) bagi mereka yang terpilih dalam undian bulan lalu. 

Namun, menurut laporan The Athletic, tiket berharga AS$60 (S$77.30) — yang dimaklumkan FIFA sebagai paling murah ditawarkan — amat sukar untuk diperoleh.

FIFA setakat ini belum mengesahkan harga tiket permulaan selain tiket termurah bagi peringkat kumpulan dan tiket termahal untuk perlawanan akhir. 

FIFA menggunakan mekanisme harga berubah-ubah bagi kejohanan yang akan dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. 

Ini bermakna harga boleh meningkat atau menurun bergantung pada permintaan.

Encik Thomas Concannon dari England Fan's Embassy berkata: “Harga ini sangat mengejutkan — AS$2,000 (S$2,576.80) untuk tiket final termurah adalah tidak munasabah.

“Jika penyokong berjaya mendapatkan tiket kategori empat dari perlawanan pertama hingga akhir, kos minimum ialah AS$3,180 (S$4,097.11). Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding kos Piala Dunia Qatar.

“Ditambah pula dengan kos perjalanan ke Amerika serta penginapan, ini bakal menjadi Piala Dunia paling mahal buat penyokong tegar.”

Beliau menegaskan FIFA perlu menyediakan peruntukan mencukupi tiket kategori paling rendah kepada negara peserta, tanpa dipengaruhi lokasi bandar tuan rumah atau harga dinamik. 

Menurutnya, tiket negara peserta juga wajar diletakkan di kawasan utama di belakang gawang untuk memastikan sokongan terbaik kepada pasukan masing-masing.

“Kami menggesa Persatuan Bolasepak England (FA) bekerjasama dengan negara lain untuk menekan FIFA agar memastikan Piala Dunia kali ini kekal mampu diakses dari segi kos bagi penyokong yang hadir ke stadium,” kata beliau.

The Athletic pada Jumaat turut melaporkan bahawa FIFA akan mengenakan komisen 15 peratus bagi tiket yang dibeli dan dijual semula melalui platform rasmi penjualan semula. Beberapa tiket dilaporkan sudah dijual pada harga puluhan ribu dolar.

FIFA setakat ini belum memberi sebarang komen. 

England hanya memerlukan dua lagi kemenangan dalam aksi kelayakan untuk mengesahkan tempat di pusingan akhir musim panas depan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita