Penyertaan Hamilton, Leclerc dalam GP F1 China dibatalkan
Penyertaan pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton dalam Grand Prix (GP) Formula One (F1) China dibatalkan selepas kereta mereka gagal pemeriksaan teknikal selepas perlumbaan pada Ahad (23 Mac).
Pelumba F1 Ferrari Lewis Hamilton. (Gambar: Reuters)
Kedua-dua pemandu itu menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam di Shanghai, namun kereta Leclerc didapati kurang daripada had berat yang ditetapkan, manakala kereta Hamilton dilaporkan kepada steward kerana "tahap hakisan berlebihan pada pelapik bawah kereta".
Pelumba Alpine, Pierre Gasly yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 turut dibatalkan penyertaannya kerana keretanya berada di bawah berat minimum.
"Semasa pendengaran, wakil pasukan mengakui bahawa tiada keadaan yang boleh meringankan kes ini dan ia adalah kesilapan sebenar oleh pasukan," menurut kenyataan steward.
Pembatalan itu memberi manfaat kepada pasukan Haas, dengan Esteban Ocon naik ke tempat kelima dan pelumba baharu Oliver Bearman di tempat kelapan.
Pelumba Itali, Andrea Kimi Antonelli, naik ke tempat keenam untuk Mercedes, sementara Alex Albon daripada Williams di tempat ketujuh.
Pembatalan Gasly bermakna Lance Stroll menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk Aston Martin, manakala Carlos Sainz meraih mata terakhir untuk Williams walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.