Penting urus, bincang jangkaan yang diletak pada bahu atlit jalani NS: Joseph Schooling
Penting untuk mengurus dan membincangkan jangkaan yang diletakkan di bahu para atlit yang sedang menjalani NS, sedang mereka berusaha sedata upaya untuk mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

(Gambar: SportSG/Andy Chua)
HANOI: Penting untuk mengurus dan membincangkan jangkaan yang diletakkan di bahu para atlit yang sedang menjalani NS, sedang mereka berusaha sedata upaya untuk mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.
Demikian kata perenang negara Joseph Schooling pada Rabu (18 Mei).
Bercakap kepada para wartawan di luar acara Sukan SEA ke-31 di Hanoi, jaguh Olimpik 2016 itu berkata para atlit sering menetapkan sasaran tinggi bagi diri mereka dan berharap dapat setaraf dengan individu lain.
Namun pada masa yang sama, beliau menarik perhatian bahawa ia juga penting untuk mengadakan dialog bagi membincangkan apakah jangkaan tersebut dan bersikap realistik mengenainya.
"Segalanya tentang bagaimana kita dapat maju bersama, dan bagaimana NS dan pencapaian dalam arena sukan dapat bersesuaian," katanya.
"Saya rasa kami berada di landasan yang betul. Kami hanya perlu duduk dan bertanya soalan-soalan yang sukar. Ia sesuatu yang sukar, tetapi saya fikir ia berbaloi pada akhirnya."
Schooling berjaya membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat gangsa daripada temasya Sukan SEA tahun ini.
Dalam respons kepada soalan mengenai bagaimana beliau dapat mengimbangi Perkhidmatan Negara dengan sukan renang, Schooling berkata beliau sudah mencatat "kemajuan" sepanjang beberapa bulan lalu.
Pada masa yang sama, beliau akur bahawa ia "agak mencabar" baginya sebagai seorang perenang.
Beliau mengulas mengenai cabaran yang dihadapi disebabkan rasa "serba salah terperangkap antara jangkaan negara terhadap dirinya sebagai seorang atlit...dengan perkara-perkara yang boleh beliau berikan komitmen dari segi keperluan latihan atau masa yang diperlukan untuk melakukan perkara yang perlu beliau lakukan".
Bagi para atlit yang perlu mengimbangi masa antara menjalani Perkhidmatan Negara dan komitmen terhadap sukan, bekas johan Olimpik itu yang mula menjalani NS pada awal tahun ini, menarik perhatian bahawa mengadakan perbincangan dapat membantu.
"Sudah tiba masanya untuk kita adakan seperti dialog kebangsaan, duduk bersama dan membincangkan mengenai apakah jangkaan yang dihadapi oleh para atlit kita sedang mereka menjalani perkhidmatan negara," kata Schooling.
"Perkhidmatan Negara adalah sesuatu yang perlu dijalani oleh semua orang. Tiada sesiapa yang cuba mengelak daripada menjalaninya. Namun kita juga perlu menangani jangkaan kita, realitinya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.