Skip to main content

Sukan

Penjaga gawang SG Hassan Sunny 'teruja' dengan sokongan peminat bola sepak China tetapi 'tidak terimanya begitu saja'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sokongan yang tidak berbelah bagi yang diberikan para peminat bola Sepak China "mengagumkan", tetapi penjaga gawang negara Hassan Sunny "tidak menerimanya begitu saja".

Pada Khamis (13 Jun), pemain 40 tahun itu memberitahu Mediacorp bahawa beliau rasa "tidak layak berasa gembira" mengenai perlawanan kelayakan Piala Dunia antara pasukan Singa dengan Thailand. Ia menyaksikan pasukan Singapura tewas 3-1 di tangan pasukan Thailand.
"Kami tampil di perlawanan tanpa sebarang tekanan kerana kami sudah terkeluar daripada persaingan itu," katanya.

"Tetapi sekali lagi, kami tampil di setiap perlawanan memikirkan tentang tiga mata itu. Jadi, ya, kami tidak mendapat apa yang kami perlukan.

Prestasi yang dicatat Hassan di perlawanan tersebut pada Selasa mencuri perhatian para penyokong China dan secara tidak langsung menjadikannya seorang selebriti di negara yang mempunyai penduduk seramai 1.4 bilion itu dalam sehari sahaja.

Hassan berjaya menafikan percubaan Thailand untuk menjaringkan gol sebanyak 11 kali.

Penjaga gol itu terus bertahan di gawang meskipun Thailand tidak henti-henti berusaha semata-mata untuk cuba menempah tempat layak ke pusingan Piala Dunia seterusnya dengan perbezaan tiga gol.

Keputusan perlawanan antara Singapura dengan Thailand sekali gus memberikan peluang kepada China untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan tersebut.

Lantas, China akan menyertai Korea Selatan, yang sedang mengungguli kumpulan itu, dalam pusingan akhir kelayakan Asia bagi Piala Dunia.
Gambar: Syamil Sapari/CNA
Hassan berkongsi bahawa beliau serta rakan pasukannya berasa kecewa berikutan kekalahan di tangan Thailand. Sejurus sahaja beliau kembali ke bilik persalinan, telefonnya mula berdering dengan banyak mesej dan emel.

"Saya tertanya-tanya apa yang berlaku. Ketika itulah saya menerima banyak mesej positif, komen daripada rakyat China," ujarnya.

"Keluarga saya sudah tentu agak terkejut dengan semua mesej ini. Terutama sekali anak-anak perempuan saya, mereka kata, "Kenapa saya lihat wajah awak di mana-mana?"

Keesokan harinya, para peminat China di Singapura membanjiri gerai makanan keluarganya di Tampines, Dapur Hassan, menyebabkan jualannya laris lebih awal.

Ada peminat di China yang mahu merakamkan penghargaan bahkan turut, memindahkan wang ke akaun Alipay gerai berkenaan, selepas netizen mengedarkan gambar kod QR pembayaran secara online.

"Saya nikmati ini sejenak. Saya macam, oh okay, duit masuk. Tetapi, saya fikir adakah ini akan berhenti? Adakah ini dibenarkan dari segi undang-undang?" luah Hassan.

Beliau tidak lama lagi akan menggesa para penyokong agar berhenti memindahkan wang, susuli "seruan daripada beberapa individu yang bimbang (berhubung hal tersebut)" yang menasihatinya untuk "menghindarkan diri daripada semua ini demi mengelakkan sebarang salah faham".

"Saya melakukan ini demi keselamatan kerjaya dan keluarga saya," tekannya kepada Mediacorp. "Saya rasa kita perlu berhenti di suatu tempat."

"Saya dah melangkah jauh. Saya bermula sejak usia 18 tahun, 19 tahun. Saya berusia 40 tahun kini. Bayangkan semua perjuangan, segala pengorbanan yang telah saya lakukan," luahnya.

"Saya tidak mahu menjejaskan atau memusnahkannya begitu saja dalam sekelip mata. Jadi ia adalah sesuatu yang perlu saya berhati-hati."
Wang yang diterimanya sejauh ini akan disalurkan kepada simpanannya dan beliau malah, mempertimbangkan untuk memperluaskan perniagaan Dapur Hassan. Pun begitu, tumpuannya masih terhadap melanjutkan kerjaya dalam sukan bola sepak.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita