Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pengendali kemudahan sukan privet perlu tunggu lebih lama untuk bolehkan kegiatan 30 orang sekumpulan

Sukan berkumpulan sehingga 30 peserta lengkap divaksin dibenarkan di kemudahan ActiveSG atau Persatuan Rakyat (PA) terpilih mulai Selasa (15 Mac). Namun para pengendali kemudahan privet perlu menunggu lebih lama lagi di tengah-tengah proses kelulusan yang sedang dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sukan berkumpulan sehingga 30 peserta lengkap divaksin dibenarkan di kemudahan ActiveSG atau Persatuan Rakyat (PA) terpilih mulai Selasa (15 Mac). Namun para pengendali kemudahan privet perlu menunggu lebih lama lagi di tengah-tengah proses kelulusan yang sedang dijalankan.

"Kami akan menghubungi para pengendali privet mengenai permohonan mereka mulai hari ini dan para pengguna boleh mula menggunakan kemudahan tersebut sebaik sahaja para pengendali itu membukanya bagi tempahan," menurut Sport Singapore pada Selasa (15 Mac), dalam jawapan kepada pertanyaan oleh Mediacorp.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Jumaat lalu (11 Mac) bahawa sukan boleh diadakan untuk sehingga 30 individu lengkap divaksin, berbanding jumlah maksimum 10 individu sebelum ini sebagai sebahagian daripada langkah COVID-19 yang diperkemas.

Ujian pantas antigen (ART) COVID-19 juga tidak diperlukan selagi kesemua peserta sudah lengkap divaksin.

Penyelarasan langkah-langkah itu ditunda sejak ia pertama kali diumumkan pada 16 Februari kerana jumlah kes COVID-19 melonjak disebabkan varian Omicron.

Pengendali kemudahan sukan privet memberitahu Mediacorp bahawa mereka kecewa terhadap penundaan itu, sambil menyatakan para pengguna mengalu-alukan lebih ramai peserta.

Apabila pihak berkuasa akhirnya mengumumkan bahawa langkah-langkah diselaraskan itu akan dilaksanakan pada Selasa, para pengguna menghubungi pengendali kemudahan-kemudahan tersebut untuk bertanya sama ada mereka boleh membawa masuk lebih ramai pemain, menurut para pengendali itu.

Namun, apabila tarikh tersebut semakin dekat, para pengendali berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak diberikan lampu hijau oleh Sport Singapore (SportSG).

PENGENDALI PRIVET

Encik Rajesh Mulani, pengasas bersama kemudahan sukan futsal The Cage, memberitahu Mediacorp pada Isnin (14 Mac) bahawa para pengendali privet lazimnya perlu memohon untuk menyertai skim tersebut dan menunggu kelulusan oleh SportSG.

Proses permohonan termasuk memperincikan langkah-langkah pengurusan selamat pihak pengendali untuk menampung lebih ramai pengguna.

"Kami belum mendengar apa-apa lagi (dari SportSG). Namun kami sudah bersedia, sebaik sahaja kami mendapat kelulusan itu kami boleh mula menerima tempahan," katanya.

Encik Rajesh berkata bahawa ramai yang bertanya sama ada tiga pasukan dengan lima peserta setiap satu dibenarkan atau jika perlawanan 11 orang setiap pihak boleh disambung semula.

"Seperti yang anda boleh bayangkan, telefon syarikat ini kerap berdering," katanya.

"Pada asasnya, (kami memberitahu mereka) supaya tunggu sebentar sahaja lagi. Sebaik sahaja kami mendapat kelulusan rasmi, kami akan mengumumkannya di media sosial kami."

Encik Tony Tan, pengurus perniagaan bagi sebuah syarikat yang memiliki kemudahan sukan floorball Red Quarters, berkata bahawa ia menerima "banyak pertanyaan" tentang bila format yang diperluaskan akan dilaksanakan. Malah ada yang sudah membuat tempahan lebih awal bagi menjangkakan peralihan itu.

"Ia sangat menghampakan kerana kami tidak boleh katakan kepada mereka ya atau tidak, kami katakan kami masih menunggu untuk mendapatkan kelulusan," katanya kepada Mediacorp pada Isnin.

PENDAFTARAN DILANJUTKAN

SportSG menyatakan di laman ActiveSG bahawa pendaftaran bagi pengendali privet dilanjutkan sehingga pukul 8.00 malam ini (16 Mac). Ia menyatakan bahawa ia sudah menerima lebih 70 permohonan sejauh ini dan ia sudah meluluskan 13 pengendali sejauh ini berdasarkan "kesediaan operasi" mereka.

Encik Rajesh memberitahu Mediacorp pada Selasa bahawa beliau sudah mendapat kelulusan itu, "namun kami perlu menantikan bagi maklumat rasmi sebelum kami boleh menambah jumlah saiz kumpulan".

SportSG menyatakan tempoh pendaftaran itu dilanjutkan bagi membolehkan para pengendali privet yang inginkan lebih banyak penjelasan tentang langkah-langkah terkini MOH untuk menilai sama ada mereka berminat untuk membuat permohonan dan bagaimana mereka boleh mengoptimumkan kemudahan mereka dengan jumlah lebih tinggi pemain yang dibenarkan.

Langkah-langkah pengurusan selamat itu termasuk memastikan para pemain memakai pelitup sebelum dan selepas permainan mereka serta semasa waktu rehat dan untuk memastikan terdapat waktu mencukupi antara setiap perlawanan bagi mengelakkan para pemain daripada sesi permainan yang berbeza daripada bergaul.

Meskipun seramai 30 peserta dibenarkan, jumlah peserta dalam setiap permainan harus konsisten dengan sukan tersebut - misalnya, tujuh lawan tujuh bagi sukan bola jaring, dengan pemain yang lain menunggu giliran mereka di kawasan yang berasingan.

"SportSG bekerjasama dengan para pengendali privet untuk memastikan bahawa langkah-langkah pengurusan selamat sewajarnya dilaksanakan untuk melindungi masyarakat dan ia disesuaikan sejajar dengan situasi COVID-19," kata seorang jurucakap.

"Kami akan terus memberikan kemas kini kenyataan nasihat secara kerap menerusi laman dan wadah media sosial kami dan mendampingi pihak-pihak berkepentingan dalam sektor sukan dan kecergasan mengenai format yang diperluaskan ini."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan