Skip to main content

Sukan

Pendayung SG Saiyidah Aisyah ingin berikan yang terbaik di Olimpik Paris 2024 meskipun cedera

Anggaran Waktu Membaca:
Pendayung SG Saiyidah Aisyah ingin berikan yang terbaik di Olimpik Paris 2024 meskipun cedera

(Gambar: Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee)

PARIS, PERANCIS: Berfikiran positif, dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan.

"Untuk sukan temasya kali ini, buat saya 'don't try, just do' atau 'jangan cuba, buat sahaja'," kata pendayung Olimpik Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee kepada wartawan Nurhelmy Hakim menerusi panggilan jauh.

'

Aisyah bakal membuat kemunculan keduanya dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas penampilan sulungnya di Olimpik Rio de Janeiro lapan tahun yang lalu.

KEKAL KECERGASAN, LAKUKAN LATIHAN RINGAN SETIAP HARI

Sejak tiba di Paris, Perancis pada Isnin lalu (22 Jul), Aisyah giat berlatih setiap hari untuk perlumbaan pertamanya yang dijadualkan berlangsung pada pagi Sabtu (27 Jul).

Meskipun masa latihan sebelum perlumbaan di Paris itu singkat, intensiti latihan yang dilakukannya pada tahap tertinggi.

Menurut Aisyah, beliau mendayung pada setiap pagi.

Pada waktu petang pula, beliau akan menjalani latihan lain termasuk mengayuh basikal, berlari atau bersenam di gimnasium bersama jurulatihnya Alan Bennett.

'

(Gambar: @ariesyah/Instagram)

"Untuk masa sekarang ini, latihan ini memberi lebih fokus kepada memperhalusi teknik. Selalunya saya akan berlatih kira-kira dua hingga tiga jam sehari, tetapi kali ini, saya setakat berlatih untuk 40 minit sahaja," jelas Aisyah, 36 tahun.

Beliau tetap berlatih untuk memastikan tahap kecergasannya tinggi meskipun mengalami kecederaan tindak balas stres pada tulung rusuknya sekitar sebulan lalu.

"Kecederaan ini adalah pada tulang saya, jadi tidak banyak yang dapat saya lakukan. Tetapi ini tidak mematahkan semangat saya dan saya tidak inginkan kecederaan ini sebagai fokus pada Olimpik ini."

"Kecederaan ini pastinya mengubah cara latihan dan pendekatan saya terhadap Olimpik ini 100 peratus. Ini kali pertama saya bertanding dengan kecederaan. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak akan melakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan," ujar Aisyah.

PENGALAMAN DI KOMPLEKS SUKAN PERKAMPUNGAN ATLET

Aisyah menginap di Perkampungan Atlet di kawasan Saint-Denis, Saint Ouen dan L'ÃŽle-Saint-Denis yang menempatkan sekitar 14,250 atlet dan para pegawai dari merata dunia.

Menurut Aisyah, beliau menggunakan kesempatan itu untuk bertemu dengan para atlet yang lain.

"Sejauh ini, saya dapat berjumpa dengan pemain tenis dari Sepanyol, Carlos Alcaraz. Beliau baharu memenangi kejuaraan Wimbledon beberapa minggu lalu. Saya rasa sangat gementar untuk bergambar bersamanya. Kerana saya tahu ramai atlet yang ingin meluangkan masa bersendirian. Tetapi apabila dia setuju, saya rasa sangat gembira," kata Aisyah.

'
(Gambar: @ariesyah/Instagram)


"Saya ingin sangat bertemu dengan atlet gimnastik dari Amerika Syarikat, Simone Biles. Setakat ini belum ada kesempatan lagi," kata Aisyah sambil tertawa.

Aisyah yang berkongsi bilik bersama ratu pecut negara, Shanti Pereira berkata tempat penginapan dan makanan yang disediakan di perkampungan atlet sangat memuaskan hati.

'
(Gambar: Saiyidah Aisyah) 


"Makanan di sini sedap juga. Ada beberapa jenis masakan yang kami boleh pilih setiap hari. Kalau jenis masakan Perancis, mereka memang dikenali dengan roti-roti dan pencuci mulut. Tetapi saya tetap harus kawal diri dan peka dengan cara pemakanan saya kerana perlumbaan saya tinggal menanti hari sahaja."
'

'

(Gambar: Saiyidah Aisyah) 

'

(Gambar: Saiyidah Aisyah) 

"Tempat tinggal di sini pun agak baik. Mereka sediakan alat hawa dingin mudah alih di setiap bilik. Katilnya juga meskipun dibuat daripada kadbod, tetapi saya rasa ia agak selesa. Setiap malam saya dapat tidur dengan lena. Saya rasa tilamnya juga memainkan peranan," tambah Aisyah.

'

(Gambar: @ariesyah/Instagram)

Aisyah banyak berkongsi pengalamannya di perkampungan atlet di akaun Instagram beliau.

Beliau berkata: "Saya rasa yang paling penting di sebalik berpeluang bertanding di Sukan Olimpik adalah untuk berkongsi pengalaman. Suami saya selalu bertanyakan tentang perkembangan di sini. Keluarga saya juga. Saya rasa bukan semua orang dapat bertanding di Olimpik, jadi kalau saya dapat berkongsi pengalaman ini, ia membuat pengalaman saya di sini lebih manis lagi."

Aisyah akan bertanding dalam kategori Scull perseorangan wanita dalam sukan Olimpik kali ini.

Perlumbaan pertamanya adalah pada pagi Sabtu (27 Jul) pada sekitar 10.00 pagi waktu tempatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita