Skip to main content

Sukan

Pencak Silat raih pencalonan tertinggi dalam Anugerah Sukan SG 2025, Sheik Farhan calon Olahragawan Terbaik

Anggaran Waktu Membaca:
Pencak Silat raih pencalonan tertinggi dalam Anugerah Sukan SG 2025, Sheik Farhan calon Olahragawan Terbaik

Sheik Farhan calon Olahragawan Terbaik. (Gambar-gambar: Singapore Silat Federation, SG Silat)

SINGAPURA: Pencak Silat mencatat rekod baharu dengan jumlah pencalonan tertinggi dalam Anugerah Sukan Singapura (SSA) 2025.

Secara keseluruhan, mereka mendapat 44 pencalonan termasuk lima pencalonan dalam kategori solo.

Lagi 39 pula pencalonan bagi Anugerah Kepujian untuk kategori 'senior' dan 'junior'.

Bagi para penggiat sukan itu, pencapaian tersebut mencerminkan betapa sukan itu semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di Singapura.

SHEIK FARHAN BESAR HATI DICALONKAN SEKALI LAGI SEBAGAI OLAHRAGAWAN TERBAIK
 

Pesilat Negara, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin. (Gambar: SG Silat)

Antaranya ialah Sheik Farhan Sheik Alau’ddin yang tercalon dalam kategori Olahragawan Terbaik.

"Silat sebagai satu sukan yang menerima lima pencalonan ialah sesuatu pencapaian yang besar. Ia adalah satu pengiktirafan bagi sukan itu sendiri dan semua yang bekerja keras di belakang tabir. Ia membuatkan saya bangga melihat Silat mendapat perhatian yang sewajarnya"

Beliau, yang merangkul pingat emasnya yang kelima dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat baru-baru ini, menyifatkannya sebagai antara pencapaian terbesar yang menyumbang kepada pencalonan itu.

"Saya sangat berbesar hati dan merendah diri dicalonkan sebagai Olahragawan Terbaik tahun ini. Rasa sangat gembira melihat kerja saya diiktiraf di tahap sebegini. Ini sememangnya satu detik yang membanggakan bagi saya," kongsi Sheik Farhan kepada BERITA Mediacorp dalam satu jawapan bertulis.

"Mengenang kembali, saya rasa salah satu pencapaian penting yang menyumbang kepada pencalonan ini ialah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini, yang merupakan kemenangan kelima bagi saya. Kekalkan konsisten untuk menang sekali lagi memerlukan banyak persiapan," tambahnya.

Sebelum ini, Sheik Farhan pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik dalam Anugerah Sukan Singapura 2023, iaitu yang pertama baginya.

Kali ini, beliau tercalon dengan empat lagi atlet hebat termasuk atlet 'kite foil', Maximilian Maeder dan atlet Badminton, Loh Kean Yew.

GIAT PERSIAPKAN DIRI UNTUK KEJOHANAN PENCAK SILAT ASIA AKAN DATANG

Sheik Farhan Sheik Alau’ddin. (Gambar: Singapore Silat Federation)

Buat masa ini, Sheik Farhan lebih menumpukan perhatian bagi persiapannya untuk kejohanan seterusnya.

"Saya sedang membuat persiapan untuk Kejohanan Pencak Silat Asia yang akan berlangsung dalam beberapa bulan lagi. Intensiti latihan akan dipertingkatkan untuk memperhalusi teknik dan kekal tajam dari segi mental," ujar beliau.

Selain meraikan pencapaian para atlet yang memberikan inspirasi kepada semua dengan prestasi luar biasa, SSA turut mengiktiraf para jurulatih yang sudah menyumbang kepada landskap sukan tanah air.

MOHAMED NOOR RAFILI MOHAMED RAMLI DICALONKAN SEBAGAI JURULATIH TERBAIK

Mohamed Noor Rafili Mohamed Ramli dicalonkan sebagai jurulatih terbaik. (Gambar: SG Silat)

Lagi satu pencalonan yang diterima Pencak Silat ialah menerusi Encik Mohamed Noor Rafili Mohamed Ramli dalam kategori Jurulatih Terbaik kali ini.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan berbesar hati kerana dicalonkan sebagai Jurulatih Terbaik. Ini adalah satu penghormatan yang besar bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga kepada seluruh masyarakat silat Singapura yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya," kongsi Encik Rafili.

"Pencalonan ini mencerminkan dedikasi, usaha dan kerja keras semua pihak, termasuk atlet, pasukan kejurulatihan, dan pihak PERSISI," tambah beliau.

Beliau juga melihat jumlah pencalonan yang tinggi itu sebagai hasil daripada usaha berterusan bagi membangunkan sukan itu.

"Sudah pastinya, saya sangat berbangga dengan pencapaian ini. Lima pencalonan (kategori solo) adalah bukti bahawa sukan silat di Singapura semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat nasional. Ini adalah hasil daripada usaha berterusan semua pihak dalam membangunkan sukan ini, dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa," ujar Encik Rafili.

"Ia memberi keyakinan kepada kami untuk terus memperkukuhkan program latihan, memperbaiki mutu pertandingan, dan membina generasi atlet yang berdaya saing," tambahnya.

Seorang lagi Jurulatih pencak silat, Sheik Alau’ddin Yacoob Marican juga pernah memenangi kategori itu pada 2019.

200 atlet dari 5 negara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand, berentap dalam Kejohanan Silat Nusantara 2025 (Gambar: Hidir Ezat)

Dengan pertandingan-pertandingan besar akan datang seperti Kejohanan Pencak Silat Asia di Vietnam serta Sukan SEA yang akan diadakan di Thailand pada Disember ini, pasukan itu gigih mempergiatkan lagi persiapan.

Sebelum ini, Singapura merupakan tuan rumah sulung Kejohanan Silat Nusantara buat julung-julung kalinya yang menghimpunkan 200 atlet silat dari lima negara Asia Tenggara. 

"Fokus utama kami adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan, kekuatan fizikal, ketahanan mental, serta menajamkan teknik-teknik penting dalam setiap kategori," kongsi Encik Rafili.

"Kami juga akan mengadakan beberapa sesi pemantapan dan simulasi pertandingan bagi memastikan atlet benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental," tambahnya lagi.

Para pemenang bagi SSA 2025 bakal diumumkan pada 20 Jun ini dalam satu majlis penyampaian anugerah.

Dianjurkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Sport Singapore, SSA 2025 mengiktiraf individu dan pasukan yang cemerlang dalam sukan masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita