Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Peminat bola sepak mahu FIFA beri pampasan tebus penderitaan pekerja hijrahan di Qatar

Kebanyakan peminat bola sepak dari 15 negara akan menyokong FIFA memberikan pampasan kepada pekerja hijrahan di Qatar bagi pencabulan hak asasi manusia semasa persiapan negara itu bagi Piala Dunia 2022, menurut Amnesty International pada Khamis (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Peminat bola sepak mahu FIFA beri pampasan tebus penderitaan pekerja hijrahan di Qatar

Seorang pekerja hijrahan di Stadium Lusail di Qatar, pada 20 Disember 2019, yang dibina untuk Piala Dunia 2022 FIFA. (Gambar: GIUSEPPE CACACE / AFP)

DOHA: Kebanyakan peminat bola sepak dari 15 negara akan menyokong FIFA memberikan pampasan kepada pekerja hijrahan di Qatar bagi pencabulan hak asasi manusia semasa persiapan negara itu bagi Piala Dunia 2022, menurut Amnesty International pada Khamis (15 Sep).

Satu tinjauan YouGov melibatkan lebih 17,000 peminat bola sepak dari 15 negara - 10 daripada negara Eropah - yang dijalankan oleh Amnesty International menunjukkan 73 peratus responden akan menyokong saranan tersebut manakala 10 peratus pula menentangnya.

Lebih 67 peratus responden juga mengatakan Persatuan Bola Sepak nasional seharusnya berucap secara terbuka tentang isu hak asasi manusia berkait Piala Dunia di Qatar dan mereka meminta pampasan diberikan kepada pekerja hijrahan.

"Di seluruh dunia, orang ramai bersatu padu dalam keinginan mereka untuk melihat FIFA tampil ke hadapan dan menebus penderitaan yang dialami oleh pekerja hijrahan di Qatar," kata Steve Cockburn, Ketua Keadilan Ekonomi dan Sosial Amnesty International.

FIFA menyatakan pelbagai langkah sudahpun dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk meningkatkan perlindungan bagi pekerja di Qatar.

"Para responden mungkin tidak menyedari sepenuhnya akan langkah-langkah yang sudahpun dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh FIFA dan rakan-rakan kongsinya di Qatar untuk melindungi pekerja yang terlibat dalam penganjuran Piala Dunia Qatar 2022 FIFA," menurutnya.

Pada Mei, Amnesty dan kumpulan hak asasi lain menggesa FIFA supaya memperuntukkan AS$440 juta (S$619 juta) sebagai pampasan kepada pekerja hijrahan di Qatar kerana menyalahgunakan hak asasi manusia.

FIFA menyatakan pada Mei ia menilai cadangan Amnesty dan sudahpun memberi pampasan kepada sejumlah pekerja, yang menerima AS$22.6 juta (S$31 juta) setakat Disember tahun lalu.

Amnesty juga menggesa FIFA dan Qatar supaya membangunkan satu program pemulihan bagi membayar balik gaji yang tidak dibayar, yuran pengambilan kerja yang dibayar oleh ratusan ribu pekerja serta pampasan bagi kecederaan dan kematian.

"Program itu harus dibangunkan dan mesyuarat awal diadakan antara pihak berkepentingan utama sebelum perlawanan bermula pada 20 November 2022," menurut Amnesty sambil menambah bahawa para pekerja dan kesatuan sekerja harus terlibat dalam program tersebut.

"Program itu juga seharusnya menyokong inisiatif yang melindungi hak pekerja pada masa kelak."
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan