Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemimpin, selebriti dan peminat bola sepak dunia ratapi pemergian Pele

Anggaran Waktu Membaca:
SAO PAULO: Pemergian legenda bola sepak Pele pada Khamis (29 Dis) menerima reaksi duka daripada peminat, pemimpin dan juga selebriti seluruh dunia.

Antara yang terawal menitipkan ucapan takziah adalah mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
"Pelé adalah antara yang terhebat pernah bermain permainan yang indah itu.

"Dan sebagai salah seorang atlit paling dikenali di dunia, mendiang memahami kuasa sukan untuk menyatukan orang ramai.

"Doa dan ingatan kami buat keluarga mendiang serta semua yang mengasihi dan mengaguminya," tulis Encik Obama.

Bekas jaguh pelari pecut dunia, Usain Bolt turut menitipkan ucapan takziah kepada mendiang.
"Legenda sukan. Damailah anda di sana, Raja Pele," tulis Bolt.

Pasukan kebangsaan England dalam kiriman Twitternya turut menyanjungi kehebatan Pele dan mengungkapi kata-kata legenda bola sepak itu akan sentiasa dikenang.
"Antara yang terbaik mewarnai permainan yang indah.

"Selamat tinggal, Pelé. Anda tidak akan dilupakan," tulis hantaran Twitter itu.

Kalangan pemain bola sepak juga tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan takziah buat pemain bola sepak tersohor dunia itu, antaranya Leo Messi dan Cristiano Ronaldo.
Portal GOAL dalam pada itu menitipkan kata-kata Pele menyusuli pemergian seorang lagi bintang bola sepak terkemuka dunia Diego Maradona dua tahun lalu.
"Satu hari nanti, saya harap kita dapat bermain bola sepak bersama di sana," tulis Pele pada 2020.

Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun selepas bertarung dengan barah usus besar.

Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat dunia, Pele merupakan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan menjulang trofi berprestij itu pada 1958, 1962 dan 1970.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan