Skip to main content

Sukan

Pemain Tanjong Pagar United digantung 2.5 tahun, didenda S$2,000 atas kelakuan kasar

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain Tanjong Pagar United digantung 2.5 tahun, didenda S$2,000 atas kelakuan kasar

Pemain Albirex berusia 20 tahun dibawa ke hospital dalam keadaan sedar selepas ditumbuk oleh seorang pemain Tanjong Pagar United.

Diterbitkan : 06 Mar 2025 09:14AM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 10:33AM
SINGAPURA: Pemain bola sepak Aniq Rizqin dikenakan larangan selama 30 bulan dan didenda S$2,000 pada Rabu malam (5 Mac) oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kerana berkelakuan kasar.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang bermain untuk kelab Tanjong Pagar United pada ketika itu, dirakam dalam video menumbuk seorang pemain lawan dari Albirex Niigata semasa para pemain sedang berjabat tangan selepas perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) bawah-21 tahun pada 10 Februari lalu.

Polis kemudian memberkas Aniq atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu, SPL menyatakan jawatankuasa disiplin FAS mendapati remaja itu bersalah atas dua tuduhan berkelakuan kasar semasa perlawanan.

"Dia digantung dari semua perlawanan dan kejohanan FAS selama 30 bulan dan didenda S$2,000," menurut SPL.

Dalam rakaman yang sama, Aniq kelihatan berlari dari tepi padang untuk menumbuk seorang pemain Albirex dan dia terpaksa ditahan oleh rakan-rakan sepasukannya sedang mangsa terbaring di padang.

Tanjong Pagar United didenda S$5,000 - di mana dendanya digantung sehingga 31 Disember 2026 - selagi ia dapat memastikan "salah laku serupa tidak lagi berulang dalam Liga SPL bawah-21 tahun atau perlawanan serupa".

SALAH SATU TEMPOH PENGGANTUNGAN PALING LAMA

Tempoh penggantungan Aniq adalah antara tempoh paling lama yang diberikan oleh FAS, menurut senarai kes disiplin yang diterbitkan pada laman FAS.

Pada 2015, Muhammad Maziz, yang beraksi untuk kelab Container Logistics Department United, dilarang melibatkan diri dalam sebarang kegiatan berkaitan bola sepak selama lima tahun selepas didapati bersalah menyerang pengadil perlawanan.

Pada 2007, Rahaizad Bin Abdul Rahman, yang mewakili pasukan NFL Tiong Bahru pada ketika itu, digantung selama dua tahun daripada beraksi dalam semua kejohanan dan perlawanan FAS kerana menumbuk dan menendang pengadil perlawanan.

Pada 11 Februari, polis menyatakan Aniq juga sedang disiasat kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan siasatan masih dijalankan.

Pada keesokan hari, Tanjong Pagar United FC mengumumkan mereka telah menamatkan kontrak Aniq selepas "pertimbangan teliti" dan mengeluarkan permohonan maaf atas insiden tersebut.

Kelab itu menyatakan ia akan terus membantu Aniq dan pihak berkuasa berhubung siasatan polis.

Albirex sebelum ini mengesahkan pemainnya, Kenji Austin Ho, dimasukkan ke hospital selepas dipukul pada kepala.

Beliau dibenarkan pulang pada 11 Februari selepas menjalani imbasan dan pemeriksaan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita