Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain No 1 dunia Viktor Axelsen bakal beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka SG

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain No 1 dunia Viktor Axelsen bakal beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka SG

Pemain dari Denmark, Viktor Axelsen beraksi semasa pusingan akhir Jelajah Dunia BWF di Bangkok pada 10 Disember 2022. (Gambar fail: AFP/Lillian Suwanrumpha)

Diterbitkan : 30 Mar 2023 05:51PM Dikemas Kini : 30 Mar 2023 06:00PM
SINGAPURA: Para peminat sukan badminton di Singapura akan berpeluang menyaksikan pemain lelaki nombor satu dunia beraksi di gelanggang, selepas Viktor Axelsen mengesahkan penyertaannya di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 pada Jun nanti.

Juara bertahan dunia dan Olimpik bertahan itu adalah antara barisan pemain terhebat yang bakal tampil dalam sejarah kejohanan tersebut, kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan media pada Khamis (30 Mac).

"Dianjurkan oleh Persatuan Badminton Singapura (SBA), Kejohanan Terbuka Singapura adalah acara Super 750 dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan dijadual menampilkan kesemua 15 pemain terbaik kategori perseorangan dan 10 pemain kategori beregu berentap bagi merebut hadiah berjumlah AS$850,000 (S$1,128,900)," tambahnya.

Pada tahun lalu, kejohanan tersebut merupakan sebuah acara Super 500 dengan nilai ranking yang lebih rendah dan tawaran hadiah lebih kecil sebanyak AS$370,000 (S$491,400).

Pemain nombor tujuh dunia Kunlavut Vitidsarn juga mengesahkan penyertaannya dalam kategori perseorangan sementara rakan senegaranya, Ratchanok Intanon, yang mempunyai ranking kelapan dunia, akan membuat penampilan dalam kategori wanita perseorangan.

Kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura dari 6 Jun hingga 11 Jun, dan persatuan-persatuan badminton boleh menghantar calon penyertaan masing-masing sehingga 25 April.

Mediacorp sudahpun menghubungi SBA untuk mendapatkan senarai pemain Singapura yang bakal bersaing dalam Kejohanan tersebut.

Sementara itu, Axelsen berkongsi bahawa beliau tidak sabar untuk bersaing di Singapura.

Semasa Kejohanan Terbuka Singapura tahun lalu, pemain dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting merampas gelaran juara bagi kategori lelaki perseorangan manakala pemain dari India, PV Sindhu menjuarai kategori wanita perseorangan.

Ginting menumpaskan pemain harapan tuan rumah Loh Kean Yew di peringkat separuh akhir, sekali gus melanjutkan penantian Singapura untuk mempunyai peluang seterusnya untuk merampas takhta juara bagi kategori perseorangan lelaki dalam perlawanan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan