Pemain Liverpool Salah, Mac Allister antara enam calon Anugerah Pemain Terbaik PFA
Penjaring gol terbanyak bagi Liga Perdana Inggeris 2024-25, Mohamed Salah, dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), bersama rakan sepasukannya dari Liverpool, Alexis Mac Allister.
Pemain bola sepak dari pasukan Liverpool, Mohamed Salah. (Gambar fail: REUTERS/Phil Noble)
Alexander Isak dari Newcastle United, Bruno Fernandes dari Manchester United, Declan Rice dari Arsenal dan Cole Palmer dari Chelsea merupakan empat pemain lain yang diundi masuk ke dalam senarai calon bagi anugerah tersebut oleh rakan-rakan mereka, menurut PFA dalam satu catatan media sosial pada Jumaat (20 Jun).
Salah menjaringkan 29 gol dan membantu rakan-rakannya 18 kali untuk menjaring gol, yang menyamai rekod 47 penglibatan menjaringkan gol sepanjang musim Liga Perdana – sepadan dengan pencapaian Andrew Cole dan Alan Shearer semasa setiap pasukan bermain sebanyak 42 perlawanan dalam satu-satu musim, sebelum jumlah perlawanan dikurangkan kepada 38 dari 1995-96.
Pemain bola sepak antarabangsa Mesir itu memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool menjuarai liga tersebut, menamatkan musim perlawanan dengan 10 mata di hadapan Arsenal yang merangkul tempat kedua.
Isak pula menduduki tempat kedua dalam senarai tersebut dengan 23 jaringan, membolehkan Newcastle menamatkan musim perlawanan sebagai antara lima pasukan teratas bagi melayakkan pasukannya menyertai kejohanan Liga Juara-Juara. Palmer pula menyumbang 15 gol dan lapan kali membantu jaringan gol, untuk membolehkan Chelsea meraih tempat keempat bagi musim tersebut.
Pemenang anugerah PFA tahun ini akan diumumkan dalam satu majlis di Manchester pada 19 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.