Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain Lion City Sailors, Nur Muhammad Asis rakyat SG pertama tandatangani kontrak dengan kelab terunggul Portugal

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain Lion City Sailors, Nur Muhammad Asis rakyat SG pertama tandatangani kontrak dengan kelab terunggul Portugal

Gambar: C.F. Estrela da Amadora

Diterbitkan : 31 Jul 2024 08:34PM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 09:44PM
SINGAPURA: Pemain tengah pasukan Lion City Sailors Nur Muhammad Asis menandatangani kontrak selama setahun bagi menyarung jersi C.F. Estrela da Amadora, sebuah kelab terunggul dari Portugal, sekali gus menjadi rakyat Singapura yang pertama untuk diberikan kesempatan sedemikian.

Demikian disahkan pasukan bola sepak tempatan Lion City Sailors dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (31 Jul).

Perjalanan pemain muda berusia 20 tahun itu untuk mengecapi impian yang selama ini dipendamnya, tidak datang bergolek.

Namun, berkat kesungguhan serta sokongan kukuh yang diterima Nur Muhammad Asis, impiannya kini menjadi kenyataan!

BAKAT BESARNYA DICUNGKIL SEJAK USIA MUDA

Bakat dan potensi Nur Muhammad Asis dicungkil sejak usia muda. Pada usia semuda 12 tahun, beliau mencuri perhatian beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Feyenoord dan Galatasaray.

Bakat Nur Muhammad Asis malah, terus digilap sejak beliau menyertai Akademi Elit Sailor pada usia 16 tahun. Pada tahun seterusnya, beliau menjadi sebahagian daripada kohort pertama pemain di bawah Bon Pendaftaran Awal Lion City Sailors.

Bon tersebut menawarkan pelatih Akademi yang terpilih peluang untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS) awal di bawah Skim Kemasukan Awal Sukarela Singapura selepas tamat pengajiannya di sekolah menengah. Ia sekali gus memberikan mereka tempoh yang lebih lama untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjayanya dalam bola sepak profesional.

Ini membuka laluan bagi Nur Muhammad Asis untuk menjadi pemain pertama dari pasukan muda kelab tersebut untuk menandatangani kontrak untuk mewakili Sailors selepas tamat menjalani NS tahun lalu.

Sejak beliau menjadi sebahagian daripada pasukan pertama, Nur Muhammad Asis sudah membuat lima penampilan di Liga Perdana Singapura (SPL).

Nur Muhammad Asis - yang juga merupakan kapten pasukan Bawah-21 Sailors - dihantar oleh kelab tersebut untuk menghadiri beberapa siri percubaan di Portugal menjelang penghujung musim 2023 itu.

Di situlah, bakat Nur Muhammad Asis mendapat perhatian beberapa individu yang sedang giat mencari pemain-pemain baharu, yang kemudian mengusulkan agar beliau menyertai Estrela.

Hasil daripada rundingan antara Sailors dan Estrela yang berjalan dengan lancar, serta aturan pentadbiran penting yang selesai dilaksanakan, Nur Muhammad Asis kini dapat merealisasikan impiannya untuk beraksi secara profesional di Eropah.

Sebagai sebahagian daripada peminjaman itu, yang akan berterusan sehingga 20 Jun 2025, Nur Muhammad Asis akan berlatih dan beraksi dengan Pasukan B Estrela secara khususnya, sementara beraksi bagi pasukan Bawah-23 kelab tersebut.

Beliau akan dipantau rapi oleh para jurulatih pasukan senior.

RAMAI ALU-ALUKAN PELUANG YANG DIREBUT ASIS

Bakat besar pemain muda ini pastinya tidak dapat dipertikaikan lagi dan malah, diakui ramai individu penting yang memainkan peranan penting dalam menjadikan perjanjian itu satu kenyataan.

Pengarah Sukan Estrela José Faria, yang memainkan peranan utama dalam perjanjian itu, berkata: "Asis mempunyai potensi besar untuk mencapai perkara besar dalam bola sepak, jadi kami gembira untuknya dan kami ingin beliau bekerja sekeras yang boleh di sini. Kami berharap ini menjadi titik permulaan bagi kerjasama antara Estrela dan Lion City Sailors."

Sementara itu, Pengarah Teknikal Sailors Luka Lalić, yang melatih Nur Muhammad Asis sejak usia tujuh tahun di Kelab Bola Sepak Turf City, yakin dengan keupayaan beliau untuk memberi kesan yang penting bagi Estrela.

"Selepas mengharungi pelbagai cabaran, termasuk pemergian bapanya awal tahun ini, beliau kini bersedia untuk menampilkan bakatnya di pentas yang lebih besar. Peluang ini tidak datang secara mengejut. Mutunya jelas; beliau hanya memerlukan persekitaran yang sesuai untuk memacu perkembangannya, dan Estrela pastinya merupakan tempat yang sesuai untuk itu."

"INI APA YANG SAYA SASARKAN SEJAK SAYA MULA TENDANG BOLA"

Tekad dan usaha gigihnya selama ini sememangnya berbaloi bagi Nur Muhammad Asis.

"Inilah yang saya sasarkan sejak saya mula menendang bola, dan saya seolah-olah masih tidak percaya dapat berada dalam kelab Portugis terkemuka," luah Asis.

Nur Muhammad Asis turut tidak ketinggalan untuk menzahirkan penghargannya kepada beberapa individu penting yang membantunya dalam merealisasikan impian itu, termasuk jurulatihnya di Akademi Sailors dan pengerusi kelab Lion City Sailors, Forrest Li.

"Saya sangat ghairah untuk menyarung jersi Estrela dan tidak sabar untuk memulakan (perjalanan dengan) pasukan itu," ujar Nur Muhammad Asis berbekal semangat yang berkobar-kobar.

Nur Muhammad Asis menanam tekad untuk terus memberi yang terbaik agar beliau dapat menjamin pemindahan tetap ke sebuah kelab Eropah satu hari nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan