SINGAPURA: Menjalani latihan berprestij bola sepak di Portugal bersama bakat-bakat muda dari merata dunia tentunya satu impian ramai yang tidak mudah dicapai.
Namun inilah peluang keemasan buat Putera Nur Muhammad Irfan Ismail.
Peluang itu dia manfaatkan sebaik-baiknya pada Jun 2022 dan ia menjadi titik penting dalam perjalanannya menceburi bidang bola sepak.
"Menjalani latihan dengan Kelab Bola Sepak Boavista satu pengalaman sangat menggembirakan," kongsi Putera dalam wawancara bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
"Intensiti dan rentaknya tidak seperti apa yang pernah saya lalui. Ia benar-benar menguji keupayaan saya."
Dalam kem latihan berprestij bersama jurulatih-jurulatih terulung itu, Putera juga dapat bersaing dengan bakat-bakat muda menyerlah Portugal.
PERJALANAN DALAM BOLA SEPAK
Minat Putera terhadap bola sepak mula berputik apabila dia mendapat bola dan tiang gol sebagai hadiah ulang tahunnya.
Pengalaman dari saat dia mula berjinak-jinak dengan sukan itu disifatkan sebagai sangat menyenangkan - terutama sekali apabila dapat menjaringkan gol semasa bermain bola bersama rakan-rakannya. Putera dalam jersi nombor 51. (Gambar: FAS)
Sokongan rakan-rakan ini dan juga bimbingan para jurulatih, kata Putera, meninggalkan kesan yang mendalam.
Pada usia enam tahun, dia bertemu Encik Richard Bok, jurulatih yang sering memberikan semangat, selain menunjukkan keyakinan terhadap potensinya.
"Jurulatih Richard salah satu jurulatih paling banyak menyokong yang pernah saya temui," ujar Putera. "Beliau yakin dengan saya dan mendorong saya untuk sentiasa melakukan yang terbaik."
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, seperti diperkecilkan kerana saiz tubuhnya yang kecil molek, Putera belajar untuk tidak menghiraukan semua itu dan sebaliknya berusaha menonjolkan bakatnya.
Dia mengagumi bintang dunia, Cristiano Ronaldo, serta Fandi Ahmad, kerana kerja keras, kemahiran dan dedikasi yang dipamerkan. Semua ini menjadi sumber inspirasi buat Putera.
PENCAPAIAN & CABARAN
Putera sejauh ini mencatat beberapa pencapaian cukup luar biasa, menurut FAS.
Kehandalannya di padang bola melayakkannya menjadi pemain cemerlang dalam perlawanan-perlawanan tempatan seperti Liga JSSL, Piala Albirex dan Sukan-Sukan Sekolah Kebangsaan.
Prestasinya bahkan membantu pasukan yang disertainya menang dalam beberapa perlawanan, termasuk Liga JSSL bagi pemain bawah umur 12 tahun dan 13 tahun, serta Kejohanan Piala Albirex bagi pemain bawah 12 tahun. Pencapaiannya cukup untuk memberinya prospek cerah dalam bola sepak Singapura. Putera Irfan (empat dari kiri) menerima Biasiswa UTR. (Gambar: Unleash The Roar)
Semasa menjalani latihan di Eropah bersama pasukan Pusat Pembangunan Nasional Singapura baru-baru ini, Putera malah dapat menjaringkan gol ketika berentap dengan kelab pasukan kegemarannya, Liverpool.
"Menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Liverpool ibarat satu mimpi yang menjadi kenyataan," kata Putera.
Namun remaja itu juga tidak terlepas daripada sebarang cabaran.
"Sebagai pemain lebih kecil berbanding ramai pemain lain, saya berdepan pelbagai cabaran," akui Putera. "Namun saya memberikan tumpuan kepada penguasaan bola, ketangkasan dan keupayaan mengatur strategi di padang untuk mengimbanginya."
Pada waktu-waktu sukar, Putera mendapatkan kekuatan daripada keluarganya.
"Galakan dan nasihat keluarga membantu saya kekal bermotivasi dan kuat secara mental," kongsinya.
Keluarga Putera berharap beliau akan dapat mencapai impian bermain bola sepak secara profesional di luar negara, selain menyarung jersi pasukan Singa buat Singapura.
"Nasihat saya buatnya adalah untuk kekal rendah diri, menerima nasihat daripada para jurulatih dan sentiasa tidak mudah berputus asa," ujar ibunya, Cik Maslinda Sabtu.
Wawancara Putera bersama FAS boleh anda baca di pautan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.