Pemain Cardiff City Perry Ng raih status PR; selangkah hampir wakili SG

Pemain bola sepak Cardiff City Perry Ng menunjukkan kad NRIC berwarna biru, dengan berlatarbelakangkan Bangunan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), dalam satu catatan di Instagramnya pada 21 Mac, 2025. (Gambar: Instagram/@busterng)
"Hello Singapura, saya telah mengambil langkah pertama saya untuk menyarung jersi warna merah," kata warga Britain itu dalam video Instagramnya pada Jumaat (21 Mac) sambil menunjukkan kad NRIC berwarna biru, dengan berlatarbelakangkan Bangunan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA).
"Saya agak 'jetlag', tetapi saya sangat teruja dan saya akan berjumpa dengan anda semua tidak lama lagi."
Ng, 28 tahun, sedang dalam proses untuk memohon kerakyatan Singapura di bawah Skim Bakat Sukan Asing (FST), kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Chew Chun-Liang bulan lalu.
Di bawah skim tersebut, Singapura memberi kerakyatan kepada atlet asing yang tidak dilahirkan di sini mahupun mempunyai sebarang kaitan nenek moyang dengan negara ini.
Jika berjaya, Ng akan menjadi pemain bola sepak pertama memperolehi kerakyatan Singapura di bawah FST sejak Qiu Li, atlet kelahiran China, apabila beliau berjaya mendapat kerakyatan Singapura pada 2010.
Di bawah peraturan FIFA, Ng layak mewakili Singapura melalui mendiang datuk sebelah bapanya, James yang dilahirkan di sini, tetapi kemudian berpindah ke Liverpool.
Walau bagaimanapun, di bawah peraturan kerakyatan Singapura, beliau hanya layak mendapat pasport mengikut keturunan jika sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya dilahirkan di negara ini atau merupakan warga negara ini melalui pendaftaran.
FAS menyokong permohonan Ng melalui FST, dengan Encik Chew berkata pada Februari lalu bahawa PR adalah langkah pertama "sebelum beliau mendapat kerakyatan dan boleh mewakili Singapura".
Persatuan itu kemudian menambah ia akan menunggu keputusan pihak berkuasa.
Pemain pertahanan itu menandatangani kontrak tahun lalu, di mana beliau akan terus beraksi bagi Cardiff City sehingga 2026. Beliau merupakan pemain terbaik kelab tersebut musim ini selama dua tahun berturut-turut, sekalipun pasukan itu sedang bergelut cuba menyelamatkan diri daripada diturunkan ke divisyen lebih rendah pada musim akan datang.
Pasukan Singa akan menentang Nepal dalam satu perlawanan persahabatan pada Jumaat di Stadium Negara, sebelum berentap dengan Hong Kong empat hari kemudian dalam perlawanan pertama peringkat kelayakan Piala Asia 2027 .
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.