Skip to main content

Sukan

Pemain Cardiff City Perry Ng mohon kerakyatan SG menerusi Skim Bakat Asing

Pemain bola sepak Cardiff City Perry Ng sedang dalam proses memohon kerakyatan Singapura melalui Skim Bakat Sukan Asing (FTS), menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Chew Chun-Liang pada Khamis (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain Cardiff City Perry Ng mohon kerakyatan SG menerusi Skim Bakat Asing

Pemain pertahanan Cardiff City Perry Ng menjalani sesi latihan kenal suai di Singapura pada September 2024. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

Diterbitkan : 06 Feb 2025 09:19PM Dikemas Kini : 06 Feb 2025 09:35PM
SINGAPURA: Pemain bola sepak Cardiff City Perry Ng sedang dalam proses memohon kerakyatan Singapura melalui Skim Bakat Sukan Asing (FTS), menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Chew Chun-Liang pada Khamis (6 Feb).

Bercakap kepada para wartawan di Stadium Jalan Besar, Encik Chew berkata bahawa FAS menyokong permohonan Ng dan akan menantikan keputusan pihak berkuasa.

“Langkah pertama ialah memastikan dia mendapat status PR (Penduduk Tetap) terlebih dahulu sebelum mendapat kerakyatan negara ini dan mewakili Singapura,” tambah Encik Chew, yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada November tahun lalu.

Di bawah skim itu, Singapura telah mengiktiraf atlet yang tidak dilahirkan di sini atau mempunyai hubungan nenek moyang dengan negara ini.

Jika berjaya, Ng akan menjadi pemain bola sepak pertama yang mendapat kerakyatan Singapura di bawah FTS sejak Qiu Li, pemain kelahiran China pada 2010.

Sejak kebelakangan ini, Song Ui-young dari pasukan Lion City Sailors dan Kyoga Nakamura yang menyarung jersi BG Tampines Rovers dibenarkan mewakili Singapura selepas memenuhi syarat FIFA yang menghendaki mereka menetap di sini selama lima tahun.

Di bawah peraturan FIFA, Ng yang berusia 28 tahun layak bermain untuk Singapura melalui datuk sebelah bapanya James, yang dilahirkan di sini, tetapi kemudiannya berpindah ke Liverpool.

Bagaimanapun, di bawah peraturan kerakyatan Singapura, dia hanya layak mendapat pasport mengikut keturunan jika sekurang-kurangnya seorang ibu bapa dilahirkan di negara ini atau menjadi rakyat tempatan melalui pendaftaran.

Pada tahun lalu, pemain pertahanan itu menandatangani kontrak yang akan mengikatnya di Cardiff City sehingga 2026. Dia adalah pemain terbaik Cardiff City buat dua tahun berturut-turut.

Pasukan Bluebirds menduduki tangga ke-19 dalam divisyen kedua liga bola sepak England. Ng telah mewakili Cardiff City dalam 23 perlawanan liga musim ini.

Dia dipelawa oleh FAS untuk menyertai kem latihan kenal suai dengan pasukan negara pada September tahun lalu.

Encik Chew menjangkakan pemain berusia 28 tahun itu akan kembali ke Singapura untuk berlatih bersama pasukan kebangsaan semasa tempoh perlawanan antarabangsa FIFA pada bulan depan.

"Setiap peluang yang kami ada untuk mendapatkan Perry pulang ke Singapura, kami akan membawanya ke sini," tambah Encik Chew.

"Dan setiap peluang yang dia katakan bahawa dia boleh pulang ke Singapura, dia akan berbuat demikian."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita