Skip to main content

Sukan

Pemain bola sepak SG sertai pasukan wanita kelab Jerman Borussia Dortmund, tangguh pengajian demi buru kerjaya

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain bola sepak SG sertai pasukan wanita kelab Jerman Borussia Dortmund, tangguh pengajian demi buru kerjaya

Gambar: Borussia Dortmund

Diterbitkan : 10 Jun 2023 10:50AM Dikemas Kini : 10 Jun 2023 10:51AM


SINGAPURA: Pemain bola sepak wanita Singapura yang pertama untuk bermain di Eropah kini telah menyertai salah satu nama terbesar dalam sukan global itu.

Danelle Tan, 18 tahun, bakal menyertai kelab Jerman, Borussia Dortmund, selepas bermain untuk London Bees di England selama kira-kira tiga bulan.

Peralihannya ke pasukan wanita kelab itu, Borussia Dortmund Frauen, membawanya selangkah lagi dekat untuk mencapai impiannya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Danelle akan menyertai kelab itu bagi perlawanan pramusim mulai Julai.

Danelle ialah pemain wanita Asia pertama yang menyertai kelab Jerman itu.

Ditubuhkan hanya dua tahun lalu, kelab tersebut buat masa ini bersaing dalam divisyen kelima liga bola sepak Jerman selepas menjuarai kejohanan dua musim berturut-turut.

Danelle berharap dapat menjadi penyerang utama sebuah pasukan yang akhirnya mara ke peringkat teratas, sekali gus membantunya mendapatkan kontrak profesional sepenuhnya.

"Saya rasa saya boleh mencapai kejayaan sebagai seorang pemain. Profesionalisme di kelab tersebut adalah sesuatu yang membuat saya tertarik, jadi ia semestinya tempat di mana saya ingin berada untuk jangka masa yang panjang," ujarnya.

"Harap-harap apabila ia masuk ke liga Bundesliga dalam masa empat tahun akan datang, saya akan menyarung jersi nombor sembilan," kata Danelle sambil merujuk kepada liga Jerman divisyen teratas itu dan nombor jersi yang biasanya dipakai penyerang utama sesebuah pasukan.

Dr Suresh Letchmanan, pengarah urusan Borussia Dortmund di Asia Pasifik, memberitahu CNA bahawa Danelle dianggap sebagai antara bakat terserlah dalam bola sepak wanita di Singapura dan Asia Tenggara.

Penampilannya semasa sebuah percubaan, yang dianjurkan atas kerjasama pembangunan belia antara kelab Jerman tersebut dengan kelab Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, berjaya menawan hati para pengadil.

"Danelle adalah seperti seorang duta, bukan saja untuk Singapura, bukan saja untuk Asia, tetapi untuk bola sepak wanita secara umumnya. Piala Dunia Wanita akan berlangsung tahun ini. Ia menunjukkan betapa perlawanan tersebut telah berkembang untuk menjadi semakin dikenali," jelas Dr Suresh.

Beliau menarik perhatian bahawa Danelle telah meraih pengalaman yang berharga daripada tempoh beliau beraksi di London, termasuk menyesuaikan diri dengan cuaca serta tahap permainan bola sepak Eropah.

Ia memberinya "kelebihan yang diperlukan untuk beraksi di Jerman kerana... di Asia dan Eropah, kami semua dilatih secara berlainan", kata Dr Suresh.


Danelle, yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A' tahun ini, akan menangguhkan pengajiannya setelah peperiksaan tersebut bagi memburu kerjaya dalam bola sepak.

CABARAN BAGI PEMAIN BOLA SEPAK WANITA

Para pemain bola sepak wanita masih menghadapi cabaran besar di merata dunia, dengan sebilangan besar daripada mereka terikat dengan sebarang kontrak profesional atau mendapat gaji tetap daripada beraksi dengan sebuah pasukan.

Jurulatih pasukan negara wanita Singapura, Karim Bencherifa, memberitahu Mediacorp bahawa mereka berhak "mendapat penghormatan" kerana mereka perlu mengimbangi antara latihan dengan pekerjaan atau pengajian mereka.

"Jadi anda perlu mengagumi dan menghormati hakikat bahawa pemain-pemain ini merealisasikan minat mereka sekalipun berdepan satu lagi cabaran di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau juga memuji sikap serta keupayaan Danelle untuk keluar daripada kepompong selesa dan membuat penyesuaian untuk bermain di luar negara, iaitu sesuatu yang disifatkannya sebagai "lebih mencabar".

Beliau menyifatkan peralihannya ke Borussia Dortmund sebagai sesuatu yang memberangsangkan oleh sebab ia memberi sokongan yang tepat bagi pembangunannya.

Sumber : CNA/LL/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita