Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain bola sepak muda Jepun Kyoga Nakamura harap dapat kewarganegaraan SG, mahu sarung jersi pasukan Singa

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain bola sepak muda Jepun Kyoga Nakamura harap dapat kewarganegaraan SG, mahu sarung jersi pasukan Singa

Kyoga Nakamura. (Gambar: Matthew Mohan/CNA)

Diterbitkan : 10 Jun 2024 10:30AM Dikemas Kini : 10 Jun 2024 10:32AM
SINGAPURA: Apabila anak jati Jepun Kyoga Nakamura pertama kali tiba di Singapura pada 2019, antara perkara yang membuatnya terkejut termasuk cuaca panas - beliau turun berat badan kira-kira enam kilogram pada bulan pertama daripada sekadar berpeluh sahaja - padang yang tidak diperbuat daripada rumput semula jadi; dan makanan India yang pedas.

Pemain bola sepak itu kini merupakan penduduk tetap yang berhasrat untuk mendapat kewarganegaraan dan peluang untuk menyarung jersi Singapura dalam kejohanan serantau akhir tahun.

Nakamura menyimpan impiannya itu sejak menerima hadiah berupa bola daripada ibu bapanya sempena ulang tahun pertamanya.

"Itulah sebabnya saya mula bermain...dan saya hanya mahu menjadi pemain bola sepak profesional," ujar pemain berusia 28 tahun itu kepada Mediacorp.
Kyoga Nakamura sewaktu kecil. (Gambar: Kyoga Nakamura)
"Semasa saya kecil, idola saya ialah Shunsuke Nakamura. Dia seperti saya - bermain dengan kaki kiri, pemain tengah dan (saiznya) tidak terlalu besar.

Seperti bintang Celtic yang sudah bersara itu, Kyoga merupakan pemain berbakat dengan kaki kirinya sebagai senjata, kecekapannya dalam memberi bola kepada rakan sepasukannya dan keupayaan untuk menembusi benteng pertahanan yang kukuh.

DI LUAR ZON SELESA

Dilahirkan di bandar Chiba, Nakamura memulakan kerjaya profesionalnya di peringkat kedua bola sepak Jepun dengan kelab JEF United Chiba pada usia 18 tahun.
Gambar-gambar lama Nakamura. (Gambar: Kyoga Nakamura)
Ia merupakan permulaan sukar bagi pemain tengah tersebut, yang sudah membuat tiga kemunculan bagi Jepun di Piala Dunia bawah-17 pada tahun 2013.

"Ia merupakan kali pertama saya tidak dapat beraksi. Sebelum saya menjadi pemain profesional, saya akan sentiasa bermain 90 minit, 75 minit," kata Nakamura.

Di samping itu, persaingan untuk menempah tempat dalam pasukan permulaan sebelas anggota itu juga sangat sengit - sehingga Nakamura seringkali berasa mual daripada tekanan semasa sesi latihan pada sebelah pagi.

"Terdapat terlalu ramai pemain yang bagus, terlalu banyak persaingan dalam pasukan dan saya hilang keyakinan," luahnya.

Anak muda itu akhirnya dihantar melalui beberapa pinjaman kepada pasukan satu peringkat di bawah, dan itu membantu membawanya kembali ke landasan yang betul.

"(Dalam J3) saya boleh mendapat peluang untuk bermain dan saya mendapat keyakinan...Itulah sebabnya saya terus berusaha memperbaiki diri.

Kemudian datang peluang dari Singapura, melalui pengerusi kelab Albirex Niigata Singapura, Daisuke Korenaga. Meskipun Nakamura menolak tawaran awal, beliau didekati lagi pada tahun seterusnya.

Kali ini, beliau tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut, jelasnya, sambil menambah bahawa beliau mahu persekitaran yang berbeza.

Pemain nombor 10 baharu Albirex itu membuat penampilan yang memberangsangkan, dengan memperoleh pencalonan bagi anugerah Pemain Muda Terbaik dan Gol Musim itu.

Berikutan musim sulungnya yang cemerlang itu, beberapa tawaran daripada kelab-kelab lain di liga tersebut datang mencurah-curah.

Namun Nakamura, akhirnya memilih Tampines Rovers disebabkan "falsafah, prinsip dan persekitaran" mereka.

MENCARI MINATNYA SEMULA

Semasa beliau menyesuaikan diri dengan kehidupan di Singapura, Nakamura juga mempelajari bahasa Inggeris dengan bantuan kursus online dan dengan mendengar podcast.

"Apabila saya datang ke Tampines, saya terpaksa belajar bahasa Inggeris kerana hampir (semua) pemain adalah tempatan dan saya perlu berkomunikasi dengan mereka di dalam dan di luar permainan," jelasnya. "Hubungan adalah salah satu perkara penting bagi (sukan) bola sepak."

Dari situ, timbul pertimbangan untuk mewakili Singapura dan Nakamura sudahpun menyuarakan minatnya kepada pengerusi kelab Desmond Ong dan ketua jurulatih Gavin Lee.

"Ia adalah satu penghormatan untuk bermain di sini dan tinggal di sini. Singapura adalah sebuah negara yang indah dengan pelbagai budaya dan orang yang baik," kata Nakamura, yang sudah menerima kontrak yang dilanjutkan selama lima tahun pada 2022.
Pemain tengah Tampines Rovers Nakamura bersama keluarganya. (Gambar: Kyoga Nakamura)
Setelah gagal beberapa percubaan, Nakamura, isterinya dan anak perempuannya sudah menjadi penduduk tetap awal tahun ini.

Matlamat seterusnya adalah untuk mendapat kewarganegaraan dan menyarung jersi pasukan Singa bagi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada November.

Nakamura layak untuk diberi kewarganegaraan, setelah memenuhi syarat FIFA tahun ini, iaitu untuk tinggal di sini selama lima tahun.

Jika diberikan kewarganegaraan, Nakamura akan menjadi pemain bola sepak pertama Singapura yang diberi kewarganeraan sejak Song Ui-young pada 2021.
Gambar: Kyoga Nakamura
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan