Skip to main content

Sukan

Pemain bola sepak Korea Selatan mengaku serahkan rekod palsu bagi pengecualian tentera

Seorang pemain bola sepak rakyat Korea Selatan menarik diri daripada bermain dalam pasukan kebangsaan pada bulan depan. Ini selepas beliau mengaku menyerahkan rekod khidmat masyarakat palsu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain bola sepak Korea Selatan mengaku serahkan rekod palsu bagi pengecualian tentera

Jang Hyun-soo mengelak daripada menjalani perkhidmatan negara setelah memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2014. (Gambar: Jung Yeon-je/AFP)

Diterbitkan : 28 Oct 2018 06:49PM Dikemas Kini : 28 Oct 2018 06:52PM

SEOUL: Seorang pemain bola sepak rakyat Korea Selatan menarik diri daripada bermain dalam pasukan kebangsaan pada bulan depan. Ini selepas beliau mengaku menyerahkan rekod khidmat masyarakat palsu. Rekod tersebut diperlukan untuk pengecualian daripada perkhidmatan negara, menurut Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) pada Ahad (28 Okt).

Hampir setiap lelaki rakyat Korea Selatan yang sihat tubuh badan, berusia antara 18 hingga 28 tahun, wajib menjalani perkhidmatan negara di bawah undang-undang. Hanya para pemenang pingat Olimpik dan pemenang pingat emas Sukan Asia diberikan pengecualian khas.

Mereka bagaimanapun mesti menjalani latihan tentera asas sehingga 60 hari serta melakukan perkhidmatan masyarakat berkaitan sukan selama 544 jam.

Pemain pertahanan, Jang Hyun-soo, mengelak daripada menjalani perkhidmatan negara setelah memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2014. Pada Disember lalu, Jang juga menyerahkan dokumen yang menyatakan bahawa beliau sudahpun selesai menjalankan khidmat masyarakat selama hampir 200 jam.

Namun difahamkan salji lebat berlaku pada hari Jang mendakwa beliau mengajar bolasepak di luar.

Dalam satu kenyataan, KFA menyatakan bahawa Jang "mencetuskan kontroversi" dan tidak akan disertakan dalam dua perlawanan persahabatan bola sepak di Australia pada bulan depan.

Menurut kenyataan itu, Jang yang mewakili Korea Selatan di Kejohanan Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2016 meminta agar tidak disertakan ke dalam pasukan kebangsaan bagi perlawanan menentang Australia dan Uzbekistan pada bulan November supaya beliau boleh selesai menjalankan perkhidmatan masyarakat.

Baru-baru ini, Korea Selatan memberi bayangan bahawa ia mungkin merombak program pengecualian perkhidmatan negara, yang menurut para pengkritik memberi ganjaran secara tidak adil kepada para atlit dan artis atas satu-satunya sahaja pencapaian mereka. 

Pemain kelab Tottenham Hotspur, Song Heung-min, antara berpuluh-puluh rakyat Korea Selatan yang dikecualikan daripada menjalani perkhidmatan negara kerana membawa pulang pingat emas di Sukan Asia 2018 di Jakarta. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita