Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain badminton SG Jason Teh mara ke peringkat akhir Thailand Masters

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain badminton SG Jason Teh mara ke peringkat akhir Thailand Masters

Teh terus berusaha memburu kejohanan antarabangsa yang pertama. (Gambar: SBA/David Tan)

Diterbitkan : 01 Feb 2025 05:34PM Dikemas Kini : 01 Feb 2025 05:41PM
SINGAPURA: Pemain badminton Singapura Jason Teh mengalahkan pemain Ireland, Nhat Nguyen pada Sabtu (1 Feb) untuk melayakkan diri ke peringkat final Kejohanan Thailand Masters.

Di Stadium Nimibutr di Bangkok, Teh menewaskan Nguyen 19-21, 21-18, 21-9 dalam masa 72 minit dan kini semakin menghampiri impiannya untuk memenangi kejohanan pertama dalam kariernya.

Pemain berusia 24 tahun itu akan menentang pemain China, Wang Zheng Xing dalam perlawanan akhir kejohanan Super 300 pada Ahad (2 Feb). Teh sudah bertarung dengan pemain nombor 39 dunia, Wang sebanyak dua kali, meraih kemenangan sekali.

Ini adalah kemenangan pertama Teh dalam kerjayanya menentang Nguyen, yang menduduki tangga ke-42 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Teh, yang merupakan pilihan keempat kejohanan itu, mencapai ranking tertinggi dengan menduduki tangga ke-30 pada awal minggu ini.

Beliau juga merupakan pemain perseorangan lelaki kedua tertinggi di Singapura, di belakang rakan senegara Loh Kean Yew, yang menduduki tangga ke-11.

Teh telah mencapai prestasi cemerlang sejak kebelakangan ini.

Bulan lalu, Teh mara ke suku akhir Indonesia Masters di mana beliau mengecewakan pemain nombor sembilan dunia Jepun, Kodai Naraoka. Beliau juga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir bagi lima kejohanan pada 2024.
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan