Pemain badminton SG Jason Teh mara ke peringkat akhir kejohanan India
SINGAPURA: Jason Teh dari Singapura kini hanya perlu menang satu lagi perlawanan untuk meraih gelaran juara pertamanya dalam kejohanan utama.
Ini selepas beliau mengalahkan Priyanshu Rajawat dari India dalam separuh akhir perseorangan lelaki bagi kejohanan Syed Modi International pada Sabtu (30 Nov).
Di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das di Lucknow, pemain rakyat Singapura itu, yang menduduki tempat ke-39, menewaskan Rajawat yang berada di kedudukan ke-34 dunia, dengan 21-13, 21-19 untuk mara ke peringkat akhir perseorangan lelaki keduanya dalam tempoh dua bulan.
Ini adalah kemenangan kedua Teh dalam dua pertemuan dengan pemain India tersebut.
Pemain berusia 24 tahun itu akan bertemu sama ada dengan Lakshya Sen dari India atau Shogo Ogawa dari Jepun dalam pusingan akhir acara BWF Super 300 pada Ahad. Sen menduduki tempat ke-14 dunia manakala Ogawa berada di kedudukan ke-68.
Memulakan tahun ini di kedudukan ke-61 dalam ranking perseorangan lelaki Badminton World Federation (BWF), Teh kini telah mara ke dua separuh akhir dan mencapai lima peringkat akhir tahun ini, sekali gus meningkatkan kedudukannya dalam carta.
Dia mencapai kedudukan tertinggi dalam kerjayanya di tempat ke-37 awal bulan ini.
Beliau adalah pemain perseorangan lelaki dengan ranking kedua tertinggi di Singapura, di belakang rakannya Loh Kean Yew, yang berada di tempat ke-12.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.